Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Koordinasi pelan pengurusan demi pastikan sumber air mencukupi


Tarikh kemaskini: 04/10/2019





MELAKA, 4 Okt -- Kerajaan negeri Melaka dan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli sedang mengkoordinasi pelan pengurusan air negeri ini bagi memastikan sumber air mentah mencukupi khususnya pada musim tengkujuh, kata Ketua Menterinya Adly Zahari.

Beliau berkata koordinasi itu turut melibatkan pelaksanaan pelan jangka sederhana dan panjang termasuk cadangan untuk menjadikan kawasan laut di Melaka sebagai tasik atau kolam takungan sumber air alternatif di Melaka terutama di kawasan bandar.

Katanya ini kerana penggunaan air di kawasan bandar adalah lebih tinggi berbanding di kawasan pedalaman berikutan terletaknya pelbagai pusat pelancongan, perhotelan dan restoran.

"Inisiatif menjadikan kawasan laut di negeri ini sebagai kolam takungan air ialah salah satu langkah yang dilihat dapat membantu menyelesaikan isu gangguan bekalan air di negeri ini bagi jangka masa panjang, mungkin 50 tahun akan datang.

"Perkara ini telah pun dilakukan di banyak negara maju dan Melaka juga boleh melakukannya, ada kemampuan tetapi ia perlu mengikut kesesuaian kawasan terlibat," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Melaka di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Adly berkata kerajaan negeri juga akan mengkaji semula penggunaan air sungai terutamanya di Sungai Duyong dan Sungai Malim sebagai satu daripada sumber air mentah negeri khususnya di kawasan bandar.

Sementara itu, katanya pada masa ini usaha giat sedang dilakukan bagi memastikan bekalan air di empangan negeri ini antaranya di Durian Tunggal dan Jus dapat ditingkatkan menerusi pemindahan atau pengepaman air dari Sungai Gersik di Johor dan Tasik Biru di Chinchin, Jasin di sini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata permohonan pembelian rumah di Melaka terutama bagi rumah teres atau Rumah Mampu Milik (RMM) perlu ditapis kerana ia mendapat permintaan tinggi ekoran harga yang ditawarkan antara yang terendah di negara ini iaitu sekitar purata RM153,000 diikuti Perlis dan Kedah.

Beliau berkata ia diperakui Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta dan Kementerian Kewangan mengenai pasaran hartanah di negeri Melaka bagi suku pertama tahun ini.

Katanya harga yang rendah itu ekoran pelbagai model rumah baharu yang dibina di negeri ini seperti Rumah Harapan dan kerajaan negeri akan terus memastikan harga tersebut lebih kompetitif untuk rakyat negeri ini.

"Kita terpaksa menapis permohonan pembelian RMM atau kos sederhana di Melaka kerana ia mudah dijual dan mendapat permintaan yang tinggi bukan sahaja daripada anak Melaka tetapi juga luar Melaka. Keutamaan perlu diberikan kepada anak Melaka," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Pesta Pulau Pinang sasar 500,000 pengunjung

 
     

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     

Sokongan keluarga, majikan cetus kejayaan penerima Anugerah Canselor

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel