Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Jawatankuasa bantu pekebun kecil buah-buahan di Sarawak akan dibentuk - Uggah


Tarikh kemaskini: 04/10/2019





KUCHING, 4 Okt  -- Sebuah jawatankuasa penyelaras  antara Jabatan Pertanian dan Persatuan Pekebun Buah-buahan Malaysia (MFFA) akan diwujudkan tidak lama lagi bagi membantu pekebun kecil buah-buahan di Sarawak berkembang serta memajukan kebun mereka ke tahap yang lebih tinggi.

Timbalan Ketua Menteri  Datuk Amar Douglas Uggah yang akan mempengerusikan jawatankuasa tersebut berkata setakat ini terdapat kira-kira 250,000 pekebun kecil di negeri ini.

“Kami mahu mereka menceburi pertanian moden dan komersial daripada hanya mengeluarkan hasil tani secara tradisional untuk keperluan sendiri. Kita sekarang memberi tumpuan kepada penanaman nanas, pisang, kelapa, jagung, manggis, rambutan, durian tempatan malah buah dabai.

“Ke arah ini, kami merancang untuk mewujudkan lebih banyak syarikat induk, pusat pungutan, pemprosesan dan pembungkusan (CPPC) di negeri ini supaya kami dapat membeli hasil daripada mereka di samping meningkatkan ilmu perladangan moden pekebun kecil ini,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan delegasi MFFA yang diketuai oleh presidennya, Hong Jok Hon di sini hari ini.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak  percaya ahli MFFA yang mempunyai hubungan pemasaran yang erat dengan pasaran besar seperti China, Singapura dan Taiwan dapat berkongsi pengalaman, pengetahuan serta kepakaran teknikal mereka yang luas.

“Sektor pertanian negeri ini kini memberi tumpuan kepada usaha menjadikan Sarawak sebagai pengeluar makanan dan produk makanan menjelang 2030. Ketika ini, kami telah mengenal pasti kira-kira 2 juta hektar tanah di seluruh negeri untuk pembangunan pertanian moden.

“Kami akan jalankan kajian bagi mengenal pasti jenis tanah dan tanaman yang paling sesuai untuk jenis tanah itu. Kami sememangnya mengalu-alukan penglibatan persatuan,” katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Nelayan hilang ditemui lemas di Kuala Dungun pagi ini - bomba

 
     

Pekan Rantau Panjang kembali pulih

 
     

Pesta Pulau Pinang sasar 500,000 pengunjung

 
     

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel