Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Bilal muda maut terjatuh dari tingkat tiga flat


Tarikh kemaskini: 04/10/2019





KUALA TERENGGANU, 4 Okt  -- Gara-gara terkunci di dalam flat, tindakan seorang bilal muda berusaha keluar dari rumah dengan meniti beranda dapur berakhir dengan tragedi apabila terjatuh dari tingkat tiga Flat Sri Kolam, Jalan Dato Isaac di sini, hari ini. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.15 petang ini, mangsa Muhammad Khaizuran Izzuddin Zulkifli, 26, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian disebabkan kecederaan parah di kepala.

Menurut abang mangsa Muhammad Izuan Zulkifli, 33, ketika kejadian beliau serta tujuh ahli keluarga tiada di rumah kerana menziarahi keluarga rakan di Rhu Rendang, Marang.

"Bagaimanapun, pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi Izzuddin menelefon bertanyakan sama ada saya ada terambil kuncinya kerana mahu keluar menunaikan solat Jumaat.

"Kami sekeluarga keluar rumah kira-kira pukul 8.00 pagi dan waktu itu arwah masih tidur. Jadi saya kunci pintu jeriji besi untuk tujuan keselamatan," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, hari ini.

Bagaimanapun, kira-kira pukul 2.30 petang Muhammad Izuan menerima panggilan daripada rakannya yang juga penghuni flat berkenaan memaklumkan tentang kejadian yang menimpa adik bongsunya.

Katanya, mungkin disebabkan usaha mencari kunci rumah tidak berhasil, adik bongsunya itu mengambil risiko meniti beranda dapur untuk keluar lalu terjatuh disebabkan hilang imbangan berikutan saiz badannya yang agak besar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Abd Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan kejadian dengan kes itu diklasifikasi sebagai mati mengejut.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel