Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kementerian, agensi kerajaan disaran guna IBS berasaskan kenaf


Tarikh kemaskini: 04/10/2019





MELAKA, 4 Okt  -- Kementerian Industri Utama menyarankan kementerian dan agensi kerajaan terlibat dalam sektor pembinaan perumahan rakyat di negara ini, khususnya Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) menggunakan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) berasaskan kenaf, bagi memberi keselesaan kepada rakyat.

Timbalan Menteri Industri Utama Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata penggunaan komoditi itu yang mampu menyerap haba dan rumah tidak menjadi panas pada siang hari selain bahan binaan kukuh, memerlukan kos sederhana dan rumah yang dibina mengambil masa yang singkat sekitar 30 hari.

"Kita di peringkat kementerian menerusi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) bersedia bekerjasama dengan mana-mana kementerian lain atau agensi kerajaan, untuk memperluaskan penggunaan komoditi itu untuk membina lebih banyak rumah di bawah PPRT, kerana kita ada bahan (kenaf) dan formula untuk pembinaan.

"Kenaf adalah komoditi yang lebih baik untuk digunakan dalam pembinaan rumah dan ia terbukti mampu mempunyai nilai tambah untuk memberi keselesaan kepada penghuni," katanya kepada pemberita pada Program Bicara Kenaf dan Penyerahan Rumah Kenafcrete, di bawah PPRT di Kampung Solok Punggai, Ayer Molek di sini, hari ini.

Pembinaan rumah PPRT berkeluasan 660 kaki persegi dengan tiga bilik yang menelan kos kira-kira RM55,000 itu dibina di bawah program tanggungjawab korporat sosial, antara Kementerian Industri Utama menerusi LKTN dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan hanya mengambil masa 30 hari untuk disiapkan.

Mengulas lanjut, Shamsul Iskandar berkata penglibatan lebih banyak kementerian dan agensi kerajaan negeri dalam usaha itu, secara tidak langsung dapat menyokong perkembangan industri kenaf yang masih baharu di negara ini.

Beliau berkata pada masa sama, kerajaan negeri yang ingin meningkatkan pendapatan rakyat menerusi penanaman agro komoditi, turut disarankan terlibat dalam penanaman kenaf, kerana komoditi itu bukan sahaja boleh dituai dalam tempoh yang singkat iaitu antara tiga ke empat bulan, malah ia mampu menjana pendapatan lumayan serta semakin mendapat permintaan yang tinggi dalam industri berasaskan biokomposit, perabot, pembinaan dan automotif.

"Kita di peringkat LKTN bersedia dan akan turun padang sekiranya mana-mana kerajaan negeri berminat untuk terlibat dalam penanaman kenaf...mereka hanya perlu sediakan plot percubaan bagi tanaman komoditi itu," katanya.

Sementara itu, penerima rumah PPRT di bawah Kenafcrete itu, Noor Alim Jantan, 45, dan isterinya Kartine Sarip, 47, melahirkan rasa gembira, kerana impian memiliki rumah sendiri akhirnya terlaksana kerana sebelum ini beliau dan lima anak lelakinya berusia 12 hingga 19 tahun terpaksa duduk bersama keluarga, sebelum menyewa lebih empat tahun di Kampung Tengah, Klebang Besar di sini.

"Alhamdulillah..gembira rasanya..syukur akhirnya kami dapat memiliki rumah sendiri dan hidup selesa, kerana sebelum ini rumah yang disewa hanya mempunyai dua bilik dan ia agak sempit untuk kami tujuh beranak. Rumah ini selesa dan sejuk walaupun pada siang hari," kata Noor Alim yang berniaga makanan secara kecil-kecilan.

Beliau berkata ia merupakan permohonan kali kedua dilakukan menerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri pada awal tahun ini, selepas permohonan lima tahun lepas gagal.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Ops Catut PSP: KPDNHEP Sabah hantar notis pengesahan kepada 15 kilang

 
     

Dua buah PPS dibuka di Kuching setakat 8.00 malam

 
     

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort bertambah kepada 427 orang

 
     

Penetapan wawasan baharu ISOM untuk APEC terima respons positif

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel