Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

JAKOA giat perkasa sektor pelancongan eko, agro perkampungan Orang Asli


Tarikh kemaskini: 05/10/2019




MELAKA, 5 Okt -- Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sedang giat memperkasakan sektor pelancongan eko dan agro di perkampungan masyarakat itu yang berpotensi seluruh negara dalam usaha meningkatkan taraf hidup dan ekonomi mereka.

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan JAKOA, Bakar Unus berkata sektor itu merupakan sumber ekonomi baharu yang semakin popular selain menjadi tarikan pelancong sejak kebelakangan ini, sekali gus dilihat mampu memberi peluang kepada penduduk menjana pendapatan serta peluang pekerjaan.

Beliau berkata, antara contoh perkampungan masyarakat Orang Asli yang menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara dalam sektor terbabit ialah Pos Kuala Mu di Sungai Siput, Perak yang mencatatkan rekod kira-kira 10,000 pengunjung pada tahun lepas.

“Jika dahulu kebanyakan mereka tidak kisah mengenainya, tetapi sejak 2016 kegiatan pelancongan ini semakin mendapat perhatian terutamanya pada cuti hujung minggu, ramai yang memilih berkunjung ke tempat-tempat tersebut sebagai destinasi percutian alam semula jadi.

“Pelbagai kemudahan seperti chalet, selain aktiviti menarik antaranya ‘jungle trekking’, memancing, mendaki bukit selain melihat aktiviti pertanian, penghasilan produk dan kraftangan penduduk dengan tawaran harga pakej yang berpatutan kepada pengunjung,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada program Karnival Usahawan Orang Asli 2019 di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir, di sini.

Bakar berkata kawasan perkampungan Orang Asli lain yang turut menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara termasuk Pulau Carey dan Tanjung Sepat di Selangor, Bukit Kepong, Seremban di Negeri Sembilan serta Lubok Bandung, Jasin di Melaka.

Mengulas lanjut, beliau berkata berdasarkan pertambahan bilangan pelancong saban tahun, pihak JAKOA akan memainkan peranan dalam membimbing masyarakat Orang Asli yang terlibat untuk meneroka bidang tersebut selain memastikan ia lebih teratur dan bersistematik.

"Pihak kita juga akan membantu mereka seperti menyediakan latihan dan bimbingan untuk membangunkan ekopelancongan dan agropelancongan untuk masyarakat Orang Asli, menerusi program tertentu yang dirangka bagi memperkasa bidang keusahawanan mereka agar lebih berdaya saing," katanya.

Seorang daripada peserta Karnival Usahawan Orang Asli 2019, Ramun Saari menyambut baik usaha JAKOA yang dilihat dapat membantu masyarakat Orang Asli menambah pendapatan penduduk, khususnya peniaga kecil sekali gus dapat mempromosi dan merancakkan kegiatan pelancongan di kawasan mereka.

Ramun, yang mengusahakan Rumah Rakit Yekmon di Sungai Pelek, Bagan Lalang Selangor berkata pelancongan berkonsepkan agro dan eko berpotensi tinggi dikembangkan, memandangkan banyak kawasan perkampungan dikelilingi keindahan alam semula jadi yang luas dan terpelihara serta amat sesuai untuk  aktiviti riadah.

“Aktiviti yang berfokuskan riadah seperti meneroka hutan, bukit, sungai, air terjun dan sebagainya sememangnya amat popular di kalangan pelancong, oleh itu kita berharap sektor ini dapat terus diperkasakan,” kata Ramun yang merupakan suku Mah Meri.

Karnival Usahawan Orang Asli 2019 yang diadakan selama tiga hari sehingga esok, merupakan platform terbaik bagi seramai 29 usahawan Orang Asli dari seluruh negara memperkenalkan keunikan produk keusahawan, kebudayaan dan tradisi mereka. 

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Seksyen 5 tol WCE dibuka mulai 10 malam ini

 
     

Banjir: Tiga daerah di Sabah terjejas setakat 12 tengah hari

 
     

17 kampung di Membakut, Beaufort terjejas banjir

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel