Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sultan Nazrin Shah berkenan rasmi sistem air terawat di Kg Orang Asli


Tarikh kemaskini: 05/10/2019





TAPAH, 5 Okt -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan merasmikan pemasangan 10 sistem air terawat di tujuh kampung Orang Asli di daerah Batang Padang di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim serta Raja Kecil Sulong, Raja Ahmad Nazim Azlan Shah Raja Ashman Shah.

Berangkat sama Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Pemegang Amanah Yayasan Sultan Azlan Shah (YSAS) Jen (B) Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin, Ketua Koordinator Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) Dr Ahmad Munawar Helmi Salim dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Prof Dr Juli Edo.

Mohd Zahidi berkata sistem rawatan air lapangan Safewhere sumbangan YSAS yang mula beroperasi sejak 7 Sept lalu itu membekalkan bekalan air terawat kepada lebih 1,100 penduduk di kampung Orang Asli terbabit.

Pemasangan 10 unit sistem rawatan air berkuasa solar dibangunkan Imaret dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia mengambil masa lima minggu serta membabitkan dana keseluruhan RM1.1 juta termasuk kos penyelenggaraan 10 tahun.

"Inisiatif YSAS dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Batang Padang dan Imaret dalam membekalkan air terawat untuk komuniti Orang Asli itu turut membabitkan pembinaan empangan mini di Kampung Orang Asli Batu 17 Sekam Bawah," kata Mohd Zahidi dalam sembah ucapan pada majlis perasmian itu.

Tujuh kampung Orang Asli yang menerima sistem rawatan air lapangan itu ialah Kampung Orang Asli Batu 14, Batu 15, Batu 16, Batu 17 Sekam Bawah, Batu 17 Landing Zone, Batu 19 dan Batu 20.

Katanya kampung terbabit dipilih selepas kajian dijalankan Imaret dan Pejabat Kesihatan Daerah Batang Padang mendapati terdapat keperluan air terawat dalam kalangan penduduk yang bergantung kepada sumber semula jadi sekali gus terdedah kepada risiko penyakit bawaan air.

Selain di pedalaman Kelantan dan Johor, sistem rawatan air lapangan itu telah dipasang di kem pelarian Rohingya di Cox's Bazar, Bangladesh dan di empat kampung dan hunian sementara mangsa gempa di Palu, Sulawesi.

YSAS diperbadankan sebagai syarikat berhad pada 6 Feb 2006 dengan tujuan mempromosi aktiviti kebajikan bermanfaat untuk masyarakat di Perak. YSAS juga mewakili warisan Sultan Azlan Shah dan simbol Kesultanan Perak yang menyediakan talian penting selain merapatkan jurang antara raja dan rakyat, termasuklah dalam kalangan komuniti Orang Asli.

Sementara itu, Tok Batin dari Kampung Orang Asli Batu 17 Sekam Bawah yang mahu dikenali sebagai Long berkata seramai 200 penduduk di kampungnya yang mempunyai lebih 30 rumah itu gembira dengan pemasangan sistem air itu.

"Sebelum ini kami dapat mengunakan air paip tetapi mahukan sistem air yang lebih baik dan bersih untuk elakkan penyakit dan sebagainya," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Banjir: Tiga daerah di Sabah terjejas setakat 12 tengah hari

 
     

17 kampung di Membakut, Beaufort terjejas banjir

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     

Latihan kemahiran percuma kepada kumpulan B40 dperluas ke Sabah, Sarawak - NIOSH

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel