Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pelajar OKU antara 1,076 graduan Konvokesyen Himpunan Huffaz Permata al-Quran


Tarikh kemaskini: 05/10/2019




KUALA NERUS, 5 Okt -- Cacat penglihatan bukan penghalang untuk Adam Hussaini Mohd Rosli, 17, menghafaz 30 juzuk al-Quran, malah lebih istimewa remaja itu mengambil masa hanya tiga tahun enam bulan untuk bergelar Huffaz.

Anak bongsu daripada empat beradik itu adalah antara 1,076 Huffaz yang menerima sijil hafazan dalam Konvokesyen Himpunan Huffaz Permata al-Quran Malaysia Peringkat Nusantara kali ketujuh yang berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak, di sini hari ini. 

Beliau yang belajar di Maahad Tahfiz dan Pengajian Islam Darul Hijrah di Baling, Kedah berkata rutin hariannya menghafaz al-Quran bermula pada 5 pagi setiap hari dan berakhir pukul 9 malam.

"Selain membaca al-Quran Braille setiap hari, bacaan saya juga akan disemak setiap hari oleh guru di madrasah untuk memastikan hukum tajwid yang betul dan lancar.

"Saya berharap kejayaan menghafaz al-Quran ini akan membanggakan ibu bapa kerana merekalah sumber motivasi saya selama ini," katanya yang berhasrat mahu mencurah tenaga sebagai pengajar di madrasah tersebut pada masa akan datang.

Perasmian konvokesyen anjuran Persatuan Madrasah Tahfiz Malaysia (Permata) itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat.

Terdahulu, Satiful dalam ucapannya berkata sijil graduan yang diperoleh para huffaz hari ini adalah sebagai suatu nilai tambah kepada mereka dalam melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi ataupun di alam pekerjaan. 

"Sijil bahasa Arab yang diperoleh juga dapat membantu para Huffaz dalam melanjutkan pengajian ke pusat pengajian tinggi di luar negara seperti Mesir, Sudan dan Afrika Selatan.

"Pembangunan kurikulum tahfiz seperti mana yang telah disarankan oleh pihak kerajaan adalah berdasarkan kurikulum tahfiz diniyah, tahfiz sains, tahfiz thurath dan tahfiz kemahiran menjadi suatu tunjang ke arah melahirkan bakal huffaz yang berkaliber pada masa akan datang," katanya. 

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

PH tidak tolak hasil kajian berbentuk ilmiah dan membina - Muhyiddin

 
     

Iikan lumba-lumba terdampar diselamatkan pelajar UMT

 
     

JIM tumpas penipuan dalam talian warga China di Ipoh

 
     

Henti polemik isu hak milik tanah kampung baharu - MB Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel