Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Usaha tangkis persepsi negatif kelapa sawit kewajipan semua - MB Pahang


Tarikh kemaskini: 05/10/2019





KUANTAN, 5 Okt  -- Usaha menentang persepsi negatif dan pihak yang memperlekeh industri kelapa sawit negara merupakan kewajipan semua, kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. 

Beliau berkata industri kelapa sawit antara sektor terpenting di negeri itu berikutan komoditi itu merupakan tanaman paling luas diusahakan di Pahang melibatkan kawasan seluas 818,986 hektar. 

Daripada jumlah itu, 25 peratus atau kira-kira 203,000 hektar melibatkan kawasan Felda manakala bakinya dibangunkan di estet swasta atau ladang agensi sama ada milik kerajaan Persekutuan atau negeri.

"Industri sawit sedang menghadapi banyak cabaran berterusan sama ada dari dalam atau di peringkat antarabangsa buat masa ini, yang menjadikan amat penting usaha sewajarnya diambil bagi mengatasi cabaran ini. 

"Kepentingan kelapa sawit adalah sangat besar buat mereka yang terlibat terutamanya kepada pekebun kecil, peneroka Felda dan pengusaha atau pemilik ladang," katanya semasa berucap merasmikan Program Kempen Healthy Sawit (LMPOC) 2019 di sini, hari ini. 

Program anjuran Persatuan Pengilang-pengilang Kelapa Sawit Pahang-Terengganu (PTPOMA) itu turut dihadiri Timbalan Menteri Industri Utama Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin selain menyaksikan 26 pemain industri kelapa sawit menandatangani deklarasi mematuhi kriteria pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Wan Rosdy juga menyifatkan pelaksanaan MSPO sebagai sebahagian daripada penyelesaian dalam menangani cabaran minyak sawit di peringkat global kerana dikaitkan dengan kemusnahan hutan, alam sekitar dan mengancam habitat hidupan liar. 

"Tuduhan ini telah menjejaskan imej minyak sawit kita dan pelaksanaan MSPO akan membolehkan kita menangkis tohmahan ini selain meningkatkan pasaran minyak sawit Malaysia di peringkat antarabangsa," katanya. 

Sementara itu, Shamsul Iskandar berkata kerajaan memerlukan sokongan daripada setiap peringkat termasuk kerajaan negeri bagi memastikan lebih ramai penanam kelapa sawit memperoleh MSPO yang akan diwajibkan menjelang 2020.

Berdasarkan rekod setakat 31 Ogos lepas, Shamsul Iskandar berkata 50.6 peratus atau 2.9 juta hektar tanaman sawit telah menerima pensijilan MSPO di seluruh negara.

"Bagi kilang sawit, sebanyak 288 atau 64.3 peratus daripada 448 kilang di seluruh negara telah diberi pensijilan MSPO," katanya. 

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel