Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Dua sahabat Azrul Effendy, Namasivayam adun resipi kejayaan Melaka


Tarikh kemaskini: 06/10/2019





MELAKA, 6 Okt -- Persahabatan erat antara Azrul Effendy Bistamam, 40, dan B. Namasivayam, 33, membolehkan dua sahabat itu mengadun resipi kejayaan membentuk skuad hoki negeri Melaka menjuarai Kejohanan Hoki Piala Tun Razak 2019, baru-baru ini.

Azrul Effendy, yang mula menggalas tugas sebagai jurulatih pasukan itu pada 2016 dan Namasivayam sebagai kapten pasukan masa ini, pernah menjuarai kejohanan sama pada 2015 ketika kedua-duanya bersama sebagai pemain pasukan itu.

Mengimbau kembali permulaan perancangan diaturnya untuk pasukan Melaka untuk menghadapi Kejohanan Piala Tun Razak 2019, Azrul Effendy berkata pada awalnya hanya sasaran empat terbaik diletakkan, namun semuanya berubah setelah berbincang dengan Namasivayam serta anggota pasukan.

"Sejak itu (2015) Melaka gagal melangkah ke pentas final termasuk sekadar meraih tempat keempat pada edisi tahun lalu. Melaka bukan pilihan (tahun ini), antara pasukan yang dilihat pilihan dan memberi saingan sengit adalah Johor, Kuala Lumpur termasuk Perak.

"Tetapi bila lepas saya cakap dengan kapten (Namasivayam) kata kita boleh cipta satu lagi sejarah dan semua pasukan setuju, sejak itu kita tidak menoleh ke belakang lagi. Semua pemain tunjuk komitmen tinggi dan semangat tidak mudah mengalah itu jadikan kita juara," katanya kepada Bernama.

Pada 28 Sept lepas, Melaka merangkul kejuaraan kali keempat Kejohanan Hoki Piala Tun Razak selepas menewaskan Johor 3-1 pada aksi final Divisyen Satu di Stadium Hoki Nasional, dan pasukan itu pernah muncul juara pada 2015, 2005 dan 2009.

Azrul Effendy berkata beliau tidak mempunyai masalah besar namun pasukan itu awalnya sedikit terkesan dengan kesukaran pemain muda yang sedang mengikuti pengajian di institusi pengajian masing-masing untuk datang berlatih, namun semua masalah dapat diatasi hasil komitmen semua pemain.

Beliau berkata segala cabaran yang dihadapi pasukan itu juga dapat diatasi hasil kerjasama dan semangat juang sebagai satu pasukan dengan gabungan pemain muda serta berpengalaman, selain pasukan itu tidak mensia-siakan peluang yang terhidang ketika permainan.

"Pada tahun ini kita menggabungkan pemain senior dan muda, sebahagian daripada pemain utama adalah mereka yang memiliki pengalaman lebih 10 tahun selain pernah bermain dengan saya sebagai satu pasukan ketika Melaka menjadi johan.

"Biarpun persediaan dilakukan hanya dalam tempoh dua bulan mereka dapat memahami cara serta corak permainan yang diterapkan sehingga para pemain dapat memberi tentangan kepada pasukan-pasukan pilihan,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     

Nelayan hilang ditemui lemas di Kuala Dungun pagi ini - bomba

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel