Pemaju perumahan disaran tumpu projek di luar bandar - Exco
Tarikh kemaskini: 06/10/2019
REMBAU, 6 Okt -- Syarikat pemaju perumahan bumiputera dan bukan bumiputera disaran menumpukan projek di luar bandar bagi memastikan lebih ramai penduduk di kawasan itu merasai kemajuan dan pembangunan seperti di bandar.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar negeri Ismail Ahmad berkata ia selari dengan manifesto kerajaan Pakatan Harapan yang akan menyediakan sebanyak mungkin perumahan mampu milik.
"Kerajaan negeri juga sedang menjalankan projek perumahan mampu milik sebagai contoh di kawasan saya di Batu 13 yang mana lebih 1,600 unit rumah akan dibina dengan harga bermula dari RM80,000 sehingga RM400,000.
"Ini merupakan satu petanda baik yang mana pembangunan ekonomi dibangunkan lebih cepat di kawasan yang terlibat sekali gus penduduk dapat merasai pembangunan kemajuan tersebut," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Majlis Perasmian Rumah Contoh Taman Mawar Ehsan Rembau di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ehsan Datuk AbduI Hamid P.V. Abdu.
Projek pembangunan 238 unit rumah teres dua tingkat yang dibahagikan kepada empat fasa pembangunan itu telah dijalankan Jun tahun lepas dan kini hampir 40 peratus telah pun siap dan fasa pertama dijangka siap pada pertengahan 2021.
-- BERNAMA
|