Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sifar Aedes: kebersihan di taman perumahan lama tumpuan kerajaan Johor


Tarikh kemaskini: 06/10/2019





BATU PAHAT, 6 Okt -- Kerajaan Johor melalui Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) akan memberikan tumpuan terhadap aspek kebersihan di taman perumahan lama yang berisiko menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes, dalam usaha menjadikan negeri berkenaan ‘Sifar Aedes’ pada masa akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata antara taman perumahan yang diberikan perhatian adalah yang dibina sekitar tahun 70-an hingga 80-an.

Beliau berkata hasil tinjauan yang dilakukan pihaknya mendapati banyak taman perumahan terbabit kini mempunyai sistem perparitan yang tidak lagi sesuai selain ada yang bermasalah.

“Oleh itu, pihak JKNJ akan bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengenal pasti taman perumahan lama yang berisiko ini, sekali gus usaha untuk membenteras pembiakan nyamuk aedes ini dapat dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Gotong-royong Mega Perangi Aedes 2.0 Peringkat Negeri Johor 2019, di Taman Suria Ros, Ayer Hitam, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri Johor Dr Selahuddeen Abd Aziz, Yang Dipertua Majlis Daerah Yong Peng Mohd Haniff Ahmad dan Pengerusi Pasukan Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi) Daerah Batu Pahat Wahyu Hidayat Jaapar.

Mengenai Combi, Mohd Khuzzan berkata pihaknya akan turut melibatkan pasukan sukarelawan berkenaan dan menyasarkan seramai 10,000 orang menyertainya pada tahun depan bagi menghapus pembiakan aedes.

Beliau berkata pasukan sukarelawan tersebut perlu digerakkan kerana kes denggi di negeri ini semakin membimbangkan dengan peningkatan mendadak sebanyak 104.4 peratus kepada 8,588 kes sehingga minggu ke-39 tahun ini berbanding 4,210 kes sepanjang tahun lepas.

“Kadar kematian bagi kes denggi juga meningkat kepada 23 orang tahun ini berbanding tahun lepas seramai 13 orang…dan sebab itulah kita perlu menggerakkan program atau aktiviti kesedaran bahaya denggi ini.

“Kita melalui Combi ini akan merangka satu program dengan permulaannya kita akan kenal pasti permasalahan berkaitan, seterusnya langkah untuk mengatasi kes denggi dapat digerakkan,” katanya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel