Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

YWJ bakal bekerjasama dengan negara ada hubungan dengan sejarah Johor


Tarikh kemaskini: 06/10/2019





BATU PAHAT, 6 Okt -- Kerajaan Johor melalui Yayasan Warisan Johor (YWJ) akan mengadakan kerjasama dengan negara yang mempunyai perhubungan sejarah dengan negeri ini sebagai persiapan menyambut Tahun Melawat Johor, tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, kerjasama berkenaan dilakukan bertujuan ‘mempersembahkan’ sejarah sebenar berkaitan dengan negeri ini, terutamanya dalam aspek kebudayaan.

Beliau berkata Brunei dan Turki merupakan antara negara yang akan terlibat dalam kerjasama tersebut yang mana kedua-dua negara terbabit mempunyai hubung kait dengan sejarah dan kebudayaan Johor.

“Kita juga akan menjemput negara-negara ini untuk meraikan bersama kita ketika sambutan Tahun Melawat Johor, tahun hadapan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes 2.0 Peringkat Negeri Johor 2019, di Taman Suria Ros, Ayer Hitam, dekat sini, hari ini.

Hadir sama dalam program berkenaan adalah Pengarah Kesihatan Negeri Johor Dr Selahuddeen Abd Aziz, Yang Dipertua Majlis Daerah Yong Peng (MDYP) dan Pengerusi Pasukan Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) Daerah Batu Pahat, Wahyu Hidayat Jaapar.

Mohd Khuzzan berkata pelbagai perancangan, program dan aktiviti sudah dirangka pihaknya untuk menyambut Tahun Melawat Johor termasuk menaik taraf muzium sedia ada.

Katanya melalui muzium di bawah seliaan YWJ, pelbagai usaha penambahbaikan akan dilakukan terutamanya berkaitan barang-barang pemeran dan kemudahan untuk pelancong.

“Kita juga merancang untuk menyelitkan beberapa aktiviti sampingan seperti persembahan kebudayaan, demonstrasi masakan dan juga pakaian tradisional, selain usaha pemuliharaan bangunan warisan,” katanya.

Menurut Mohd Khuzzan, bagi pihaknya, sambutan Tahun Melawat Johor sudah bermula tahun ini menerusi Festival Hujung Medini, di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, Johor Bahru mulai 12 hingga 17 Oktober ini.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Ops Catut PSP: KPDNHEP Sabah hantar notis pengesahan kepada 15 kilang

 
     

Dua buah PPS dibuka di Kuching setakat 8.00 malam

 
     

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort bertambah kepada 427 orang

 
     

Penetapan wawasan baharu ISOM untuk APEC terima respons positif

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel