Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Penutupan Hello Kitty, Thomas Town beri sedikit kesan kepada Tahun Melawat Johor 2020 - Exco


Tarikh kemaskini: 06/10/2019





PONTIAN, 6 Okt -- Penutupan Taman Tema Sanrio Hello Kitty Town dan Thomas Town, di Puteri Harbour, Iskandar Puteri, awal tahun depan dilihat memberi sedikit kesan kepada Tahun Melawat Malaysia dan Tahun Melawat Johor 2020, namun, negeri ini masih mempunyai pelbagai destinasi serta produk pelancongan yang boleh diketengahkan kepada pelancong.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor Liow Cai Tung berkata kerajaan negeri menerusi Tourism Johor kini giat mempromosikan 10 daerah di negeri ini dengan pelbagai sejarah dan keunikan masing-masing kepada pelancong domestik mahu pun antarabangsa.

“Sudah tentu bagi saya, penutupan kedua-dua taman tema itu mengganggu sedikit bilangan pelancong ke negeri ini memandangkan taman tema juga merupakan salah satu kawasan tarikan pelancongan.

“Bagaimanapun, ini (penutupan) adalah keputusan pihak swasta dan kita (kerajaan negeri) sememangnya menghormati keputusan mereka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program ‘Roadshow Mesra, Aktiviti, Riadah, Informatif (MARI) Daerah Pontian Bersempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara’ di Ayer Baloi, dekat sini hari ini.      

Liow berkata selain taman tema, Johor mempunyai pelbagai tarikan pelancongan lain merangkumi kepulauan, perubatan, agro serta eko pelancongan.

“Dalam 20 destinasi dan 20 festival pelancongan yang ditumpukan untuk menarik pelancong pada kempen Tahun Melawat Johor 2020, turut merangkumi ladang nanas dan sawah padi. Ini salah satu produk pelancongan yang diyakini mampu menarik pelancong domestik mahupun antarabangsa,” katanya.

Semalam, Liow dilaporkan berkata Taman Tema Sanrio Hello Kitty Town dan Thomas Town yang beroperasi sejak tujuh tahun lepas itu hanya beroperasi sehingga 31 Dis ini dan difahamkan, penutupan itu adalah disebabkan kurang sambutan sejak beberapa tahun lepas.

Pengumuman penutupan taman tema berkenaan turut dikongsikan Sanrio Hello Kitty Town dan Thomas Town – Puteri Harbour menerusi laman Facebook masing-masing, pada 2 Okt lepas.

Sementara itu, Liow berkata Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, bulan depan, sudah tentunya sedikit sebanyak memberi sumbangan kepada peningkatan sektor pelancongan di sekitar Pontian.

“Setiap kali PRK, ia memang akan memberi sumbangan kepada sektor pelancongan kerana pemimpin, penduduk luar atau pengundi yang berada di luar akan balik mengundi.

“Ini akan meningkatkan ekonomi dan saya kira dari segi ini, akan bantu meningkatkan permintaan terhadap makanan tempatan, inap desa, hotel, motel dan sebagainya,” katanya.

Mengikut rekod, setakat Januari lepas, Pontian memiliki empat inap desa di sekitar kawasan itu yang diiktiraf Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     

Nelayan hilang ditemui lemas di Kuala Dungun pagi ini - bomba

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel