Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

APMM selamatkan lima pemancing terkandas di perairan Tanjung Piai


Tarikh kemaskini: 06/10/2019




JOHOR BAHRU, 6 Okt  -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyelamatkan lima pemancing yang terkandas selepas bot dinaiki mereka rosak dan hanyut di perairan Tanjung Piai dekat Pontian, hari ini.

Pengarah Maritim Johor Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rasid berkata bot APMM yang melakukan rondaan di perairan berkenaan menemui kesemua lelaki berumur 25 hingga 50 tahun bersama bot mereka itu di kedudukan 2.6 batu nautika timur laut Tanjung Piai, kira-kira 12.30 tengah hari tadi.

"Hasrat sekumpulan sahabat untuk memancing ikan itu bertukar menjadi detik mencemaskan apabila bot dinaiki mereka mengalami kerosakan pada bahagian enjin.

"Kesemua yang berasal dari Kampung Pendas, Gelang Patah, dekat sini, keluar ke laut pada 5 pagi tadi dan keadaan kemudian bertukar menjadi panik akibat cuaca buruk lalu bot tersebut dipukul ombak sehingga hanyut dibawa arus dan terkandas kira-kira enam jam," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Aminuddin berkata anggota APMM cuba membaiki kerosakan pada enjin tersebut, namun, gagal disebabkan keadaan cuaca dan laut bergelora selain peralatan yang terhad.

Beliau berkata kesemua pemancing itu kemudian berjaya dibawa pulang ke darat pada 3 petang tadi dengan menaiki bot APMM tanpa mengalami sebarang kecederaan.

Katanya bot mereka pula ditunda oleh rakan nelayan tempatan ke Jeti Kampung Pendas.

Sehubungan kejadian itu, APMM menasihati orang ramai supaya menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru di talian 07-2199404 sekiranya menghadapi kecemasan di laut, katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Pesta Pulau Pinang sasar 500,000 pengunjung

 
     

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     

Sokongan keluarga, majikan cetus kejayaan penerima Anugerah Canselor

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel