Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

DAP tidak letak calon, mahu kekalkan keharmonian dalam PH


Tarikh kemaskini: 07/10/2019




PONTIAN, 7 Okt -- Keputusan DAP untuk tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai akan datang adalah untuk terus memastikan keharmonian dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Demi semangat setiakawan, Pengerusi DAP Tanjung Piai, Yeo Tung Siong berkata, parti itu telah terlebih awal membuat keputusan untuk tidak menamakan calon meskipun kerusi Parlimen itu secara tradisinya dipegang DAP.

“Kita dah buat banyak pertimbangan, jadi dari awal, DAP dah ada pendirian. No! Kita tidak akan menandingi kerusi Parlimen ini kerana yang penting bukan sahaja menang, kalah dalam PRK ini (tetapi) kita juga perlu tengok adakah sebarang tindakan yang kita jalankan akan menyebabkan kesan jangka panjang  (kesan buruk) kepada PH,” kata beliau kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.

Keputusan DAP ternyata berbeza dengan Barisan Nasional, yang kini kelihatan masih berbalah antara parti komponen mengenai parti manakah yang akan meletakkan calon.

DAP juga mahu membidas persepsi negatif yang sering mendakwa parti itu sering mendominasi PH sejak menjadi kerajaan apabila menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lepas, kata beliau.

“DAP akan beri sokongan sepenuhnya kepada calon PH yang akan bertanding di kawasan Parlimen dan untuk kali ini, kita akan menyediakan dua tempat untuk menjadi pusat jentera kempen PRK kali ini iaitu di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas dan satu di Bandar Kukup,” kata beliau.

Mengenai isu yang bakal dinaikkan semasa kempen PRK, Ahli Dewan Undangan Negeri Pekan Nanas itu berkata parti itu juga menolak sentimen perkauman yang mungkin akan dimainkan sepanjang kempen PRK itu.

Justeru, beliau berharap PRK kali ini menjadi satu pertandingan yang sihat tidak kira siapapun calon yang akan bertanding kelak.

“Kita pun risau sentimen perkauman akan dimainkan dalam PRK kali ini kerana saya rasa itu bukan suatu perkara yang sihat dalam politik. Itu tiada guna untuk pembinaan negara pada masa hadapan,” kata beliau, yang sudah dua penggal menjadi wakil rakyat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan hari penamaan calon pada 2 Nov ini dan hari pengundian pada 16 Nov.

Kerusi Parlimen Tanjung Piai kosong berikutan kematian penyandang Datuk Dr Md Farid Md Rafik yang meninggal dunia pada 21 Sept lepas kerana komplikasi jantung.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Ops Catut PSP: KPDNHEP Sabah hantar notis pengesahan kepada 15 kilang

 
     

Dua buah PPS dibuka di Kuching setakat 8.00 malam

 
     

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort bertambah kepada 427 orang

 
     

Penetapan wawasan baharu ISOM untuk APEC terima respons positif

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel