Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

SPR siap siaga hadapi PRK musim bencana


Tarikh kemaskini: 07/10/2019





PONTIAN, 7 Okt  -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan sentiasa bersiap sedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai termasuk menghadapi bencana seperti banjir.

Setiausaha SPR Datuk Mohamed Elias Abu Bakar berkata Pegawai Daerah Pontian Zulkifly Mohd Tahir yang juga Pegawai Pengurus PRK Tanjung Piai, telah mengadakan mesyuarat pagi tadi yang melibatkan pelbagai agensi untuk melihat pelbagai perkara termasuk faktor cuaca.

“Selain kita menyediakan kemudahan mengundi di hari mengundi, kita juga ambil kira sekiranya berlaku keadaan tidak baik dan cuaca tidak baik.

“Mereka (agensi-agensi terlibat) sedang merancang tindakan seperti kerjasama (agensi) yang mengawas banjir seperti  keselamatan dan sebagainya dan perkara itu (seperti banjir), sudah dalam perhatian SPR,” kata beliau selepas melawat SJK (C)  Pei Chiao, dekat Kukup, hari ini.

Menurut beliau, pihaknya sedia maklum bahawa bulan November merupakan musim hujan di negeri ini.

Sekolah itu, merupakan salah satu daripada 28 pusat mengundi melibatkan 27 sekolah yang digunakan semasa PRK dan sebuah dewan serbaguna di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian untuk pengundian awal.

Sementara itu, Mohamed Elias turut memberi jaminan bahawa perjalanan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak akan terganggu berikutan PRK itu.

Beliau berkata dari 27 sekolah, hanya tiga sekolah menengah kebangsaan (SMK) yang akan terlibat sebagai pusat mengundi iaitu SMK Dato Yunos Sulaiman, SMK Pekan Nenas and SMK Sri Kukup.

Selain itu, beliau berkata tiada peperiksaan berlangsung di mana-mana tarikh yang dipilih iaitu pada hari penamaan calon pada 2 Nov dan hari pengundian iaitu 16 Nov, yang merupakan hari Sabtu.

Beliau berkata keperluan dan keselesaan pengundi terutama golongan Orang Kurang Upaya (OKU) juga diberi tumpuan melalui penambahbaikan infrastruktur pusat mengundi. 

Terdapat 977 pengundi OKU daripada lebih 52,000 pengundi pada PRK Tanjung Piai.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


 

   

 
 
     
   
 

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     

Nelayan hilang ditemui lemas di Kuala Dungun pagi ini - bomba

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel