Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Penugasan PGA di PIC berakhir selepas hampir tiga tahun berkhidmat


Tarikh kemaskini: 07/10/2019





KOTA TINGGI, 7 Okt -- Selepas hampir tiga tahun melakukan penugasan di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), di sini, khidmat Pasukan Gerakan Am (PGA) di kompleks itu secara rasminya berakhir hari ini.

Tugas mengawal keselamatan di kawasan berkenaan kini diambil alih sepenuhnya oleh Polis Bantuan Petronas bagi memastikan operasi di PIC berjalan lancar.

Majlis pengunduran penugasan PGA berkenaan berlangsung hari ini dengan disaksikan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Turut hadir, Ketua Bahagian Operasi Petronas Refinery and Petrochemical Corporations Sdn Bhd Hanafi Dewa, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam PDRM Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani serta Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA Supt Ja'afar Kaimi.

Berucap pada majlis itu, Abdul Hamid berkata penugasan berkenaan mencatat sejarah bermakna buat Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kolaborasi strategik termeterai pada 15 Jan 2017 antara PDRM dan PIC itu menyaksikan seramai 142 pegawai serta anggota dari Batalion 5 PGA sebagai pasukan petugas pertama yang menjalankan fungsi keselamatan, pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan di PIC.

"Dengan bertukarnya Tongkat Kuasa daripada Batalion 5 PGA kepada Polis Bantuan Petronas sebentar tadi, maka berakhirlah secara rasminya penugasan PGA PDRM di PIC ini.

"Penempatan PGA di kompleks ini meninggalkan satu sejarah yang amat bermakna kepada PDRM kerana buat pertama kalinya warga PGA menjalankan tugas operasi di luar dari kawasan lazimnya," katanya.

Abdul Hamid berkata penugasan PGA di PIC diatur secara penggiliran bagi tempoh tiga bulan di mana ia turut melibatkan Batalion 2 dari Briged Utara, Batalion 4, 5, 6 dari Briged Tengah dan Batalion 7, 8 dan 9 dari Briged Tenggara.

Beliau berkata inisiatif PIC menjalin kerjasama dengan PDRM bukan sahaja bertujuan memastikan pembinaan kompleks itu berjalan lancar malah sebagai persediaan kemungkinan berlakunya pergaduhan, rusuhan atau apa jua bentuk kekacauan yang mungkin berbangkit daripada rasa tidak puas hati mana-mana pihak berkepentingan.

"Saya difahamkan, sepanjang tempoh penugasan PGA di PIC ini hanya beberapa insiden kecil yang dilaporkan tercetus akibat ketidakpuasan hati para pekerja mengenai gaji yang tidak dibayar oleh kontraktor, namun, keadaan tersebut berjaya ditangani oleh PGA yang bertugas ketika itu," katanya.

Keputusan itu katanya selari dengan pengurangan tenaga kerja di PIC ketika ini iaitu seramai 15,000 orang berbanding 64,000 orang di awal pembinaan projek.

"PIC juga membina pangkalan transit bagi membolehkan bot milik Pasukan Polis Marin mengadakan rondaan keselamatan di perairan PIC," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     

Sokongan keluarga, majikan cetus kejayaan penerima Anugerah Canselor

 
     

P. Pinang catat 384 kes rogol dari tahun 2014 hingga 2018

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel