Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Orang Asli Gua Musang harap peruntukan besar selesai masalah air, elektrik


Tarikh kemaskini: 07/10/2019




GUA MUSANG, 7 Okt -- Penduduk Orang Asli di 11 pos di pedalaman Gua Musang berharap menerima peruntukan lebih besar dalam Belanjawan 2020 bagi menyelesaikan beberapa masalah yang membelenggu mereka sekian lama termasuk jalan perhubungan, bekalan air bersih dan elektrik.

Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas Mohd Syahbuddin Hashim berkata pihaknya menjelajah ke perkampungan Orang Asli menerusi Kembara Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dan Nenggiri 2019, bagi mengumpul aduan daripada penduduk.

Beliau berkata pihaknya menerima 10 aduan daripada kaum itu dan kebanyakannya adalah berkaitan jalan perhubungan, jambatan, perumahan, air bersih dan bekalan elektrik yang mereka hadapi sejak dahulu sehingga kini.

"Mereka mengadu segala masalah yang dihadapi, di samping menyuarakan harapan mereka untuk mendapat perbelanjaan lebih besar dalam Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan Jumaat ini," katanya kepada pemberita di Pos Hau, di sini, hari ini. 

 Antara pos Orang Asli yang disinggahi dalam program kembara selama lima hari yang berakhir hari ini ialah Pos Tohoi, Simpor, Gob, Pasik, Kuala Wok, Kuala Lah, Pulat Bihai, Belatim, Balar dan Pos Hau.

Turut menyertai kembara yang disasar untuk mengeratkan perpaduan di samping menanam sikap peduli terhadap kaum Orang Asli itu ialah Anggota DUN Nenggiri Ab Aziz Yusof dan Yang Dipertua Majlis Belia Jajahan (MBJ) Mohd Asmawi Fikri Ab Ghani. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel