Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pasar Bunohan "rumah besar" pelbagai kaum di Kelantan


Tarikh kemaskini: 08/10/2019





Oleh Rohaiza Ab. Rahman

TUMPAT, 8 Okt -- Melihat sahaja perkataan 'Bunohan', pasti ramai yang membayangkan tajuk sebuah filem tempatan tahun 2012 arahan Dain Iskandar Said yang memenangi anugerah filem terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-25.

Filem genre drama aksi itu menampilkan pelakon Faizal Hussein, Zahiril Adzim dan Nam Ron  mengisahkan konflik hubungan tiga beradik di Kampung Bunohan yang berakhir dengan pertelingkahan, pembunuhan dan  pengkhianatan yang tidak berkesudahan.

Bunohan diambil daripada nama sebuah kampung di Tumpat, Kelantan iaitu Kampung Bunohan yang yang menjadi  menjadi laluan utama dari selatan Thailand ke Kota Baharu.

Maka tidak hairanlah sekiranya kegiatan penduduk di sini terutamanya aktiviti ekonomi juga  dipengaruhi  oleh masyarakat Siam terutama dari segi pertuturan seharian.  

Suasana bising dan meriah dengan aktiviti jual beli di Pasar Bunohan, tidak jauh bezanya dengan pasar basah lain di negeri ini namun keakraban peniaga dan pelanggannya daripada pelbagai kaum termasuk Siam, Cina dan Melayu pasti mencuri tumpuan sesiapa sahaja yang mengunjungi pasar yang mula beroperasi sejak 2005 itu.

Lebih menarik perhatian kebanyakan peniaga Melayu yang berniaga di situ mampu berkomunikasi dalam bahasa Siam dalam  urusan jual beli dengan pelanggan dan peniaga di situ.

Peniaga ikan yang mesra di panggil Kak Yah, 56, berkata kebolehan berbahasa Siam bukan hanya memberi kelebihan kepadanya untuk menarik pelanggan tetapi juga mengeratkan hubungannya dengan peniaga Siam yang lain.

"Saya memahami bahasa Siam selepas hampir 20 tahun berniaga di sini. Hari-hari dengar mereka berbahasa Siam. Lama kelamaan saya mula memahami dan akhirnya dapat bertutur dalam bahasa Siam," katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.

Menurut Kak Yah semua peniaga Siam di pasar itu sudah dirasakan seperti saudara sendiri hasil keakraban yang dipupuk sejak sekian lama.

Malah katanya ada panggilan tertentu turut diberikan kepada peniaga Siam di situ seperti "pok teh" bagi menambahkan kemesraan yang sedia terjalin.

"Kami di sini umpama sebuah keluarga besar yang sama-sama mencari rezeki. Tiada apa yang membezakan kami," katanya.

Manakala peniaga sayur-sayuran yang mahu dikenali sebagai Mek Kwan,70, berkata beliau tidak kekok untuk berkongsi ruang niaga bersebelahan peniaga Melayu, Che Sopiah Awang, 70, yang kini menjadi rakan karibnya.

Menurut Mek Kwan mereka juga saling mengesyorkan pelanggan untuk membeli di gerai yang diusahakan.

  "Gurau senda sudah jadi kebiasaan peniaga di sini. Ruang niaga ini bukan hanya tempat kami mencari rezeki tetapi juga ruang kami berkongsi pelbagai cerita" katanya.

Sementara itu seorang pelanggan Mek Kenoi Denpin, 66, berkata kebanyakan masyarakat Siam akan membeli barangan harian di Pasar Bunohan kerana ia terletak berdekatan dengan perkampungan Siam di Kampung Jubakar Darat.

Katanya kebanyakan peniaga Melayu di pasar berkenaan membesar bersama-sama masyarakat Siam sejak ratusan tahun lampau menjadikan mereka saling mengenali dan akrab hingga ke hari ini.

“Pasar tersebut bukan hanya menjadi tempat kami membeli barangan keperluan tetapi lokasi pertemuan dan tempat kami berkumpul," katanya.

Pasar Bunohan beroperasi dari pukul tiga hingga tujuh petang itu diusahakan kira-kira 15 peniaga Siam dan lebih 20 orang peniaga Melayu dengan pelbagai hasil jualan termasuk barangan basah, kuih muih tempatan dan barangan keperluan harian.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Pekan Rantau Panjang kembali pulih

 
     

Pesta Pulau Pinang sasar 500,000 pengunjung

 
     

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel