Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Makanan 'satukan' rakyat Malaysia


Tarikh kemaskini: 08/10/2019





Oleh Nur Fadhliana Shaari

JOHOR BAHRU, 8 Okt  -- Nasi lemak, capati dan yong tau foo, adalah antara makanan ‘majmuk’ yang menjadi kegemaran masyarakat Malaysia berbilang kaum sekali gus merapatkan hubungan masyarakat yang meminati keenakan hidangan tersebut.

Untuk menikmati hidangan berkenaan, senario masyarakat pelbagai kaum berkongsi meja makan dengan orang ‘asing’ juga sudah menjadi kebiasaan malah ia dapat dilihat di Restoran Hua Mui di Jalan Trus di bandar raya ini, yang sering menerima ‘keluarga majmuk Malaysia’ di restorannya.

Restoran yang beroperasi lebih dari 70 tahun itu cukup terkenal bukan sahaja di kalangan penduduk tempatan, malah turut dikunjungi pelancong luar kerana kepelbagaian makanan dan minuman yang disediakan sejak tahun 1946.

Pemilik Restoran Hua Mui, David Chiang, 65, yang meneruskan legasi bapanya berkata restorannya menghidangkan pelbagai minuman seperti kopi asli serta makanan seperti Hainanese Chicken Chop, Hua Mui Mee, Hainanese Coffee dan Butter Kaya Toast yang dibakar menggunakan kayu arang.

Dalam satu temuramah bersama Bernama di sini, Chiang berkata pelanggan pelbagai kaum daripada generasi ke generasi, umpama keluarga silih berganti, masih mahu menikmati hidangan di tempatnya kerana keaslian makanan yang menepati citarasa masyarakat ditambah dengan suasana zaman silam menjadikan ia dekat di hati pelanggan setianya.

“Antara makanan kegemaran atau ‘signature dish’ kami adalah Hainanese Chicken Chop dan roti bakar kami yang sentiasa menjadi permintaan dan ia turut digemari Sultan Johor yang pernah datang menikmati sajian di restoran ini dan yang menariknya, pelanggan boleh menikmati hidangan ‘chicken chop’ di awal pagi.

“Apa yang penting dan menarik adalah di sini kita boleh lihat betapa majmuk masyarakat kita khususnya bangsa Johor yang sama-sama duduk satu meja bersebelahan menikmati makanan dan restoran ini sentiasa dipenuhi orang ramai pelbagai kaum," katanya.

Tinjauan Bernama mendapati restoran yang mula beroperasi dari 8.30 pagi sehingga 9 malam setiap hari itu sentiasa silih berganti dikunjungi orang ramai daripada pelbagai latar belakang dalam suasana yang amat harmoni.

Penggemar Mi Hainan Aisah Ghazali, 26, berkata Restoren Hua Mui akan menjadi pilihannya dan rakan apabila berkunjung ke Johor kerana kepelbagaian makanan yang menepati citarasa di samping suasana yang unik di mana pelbagai kaum yang makan bersama di bawah satu bumbung menjadikannya pengalaman yang menarik.

“Kerana makanan, kita perlu berkongsi meja kerana ramai pelanggan namun itu yang menjadikan ia menarik di mana dari situ kita berpeluang untuk mengeratkan perpaduan, walaupun hanya sekadar senyum dan berbual sedikit sahaja sekali gus dapat menghidupkan suasana harmoni,” katanya yang berkhidmat di Kuala Lumpur. 

Sementara itu, bagi pemilik Restoran Zainal Place, Nor Shahrizan Zainal, 37, kepelbagaian makanan yang disediakan di restorannya khususnya mi rebus antara yang menjadi tarikan masyarakat berbilang kaum.

“Rata-rata pelanggan tak kira bangsa memilih mi rebus kami. Di sini kami amat mementingkan kualiti, kesegaran dan kesedapan sesuatu hidangan yang pastinya diterima baik oleh semua kaum dan bangsa seperti  mi rebus kita gunakan makanan laut’ yang segar, jadi ini umpama kegemaran sepanjang masa pelanggan kami,” katanya.?

Ahli perniagaan yang juga pengunjung tetap restoran itu, Jane Teoh, 40 berkata masyarakat di negara ini harus menghargai kepelbagaian dan perbezaan yang dimiliki di negara ini termasuk makanan.

“Saya adalah pelanggan tetap di sini, dalam seminggu lebih kurang tiga kali saya akan datang untuk makan tengah hari sebab tempat dia, suasana yang ‘pleasant’, sangat harmoni seperti yang boleh anda lihat semua bangsa datang ke sini untuk makan tengah hari, makanan dia semua sedap dan menepati citarasa.

“Sini sangat bersih di sini apa-apa pun saya makan dan di kedai makan ini juga kita boleh dapat lihat semua kaum pun ada sangat mesra dan itu menunjukkan keharmonian pun boleh dipupuk hanya dengan makanan,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

K'jaan Selangor sedang proses kelulusan tapak tanah Highland Towers untuk dibangunkan semula

 
     

Kedah nafi keluarkan watikah kurniaan Ahli Kehormat DiRaja

 
     

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort 448 orang

 
     

PGA9 rampas rokok putih bernilai RM750,000

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel