Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kelantan diminta kaji semula pemberian lesen perniagaan tidak kelirukan masyarakat Islam


Tarikh kemaskini: 08/10/2019




KOTA BHARU, 8 Okt -- Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Kelantan meminta Kerajaan Negeri mengkaji semula garis panduan lesen yang telah dan akan diberikan kepada syarikat bukan Islam supaya tidak mengelirukan masyarakat Islam.

Yang Dipertuanya, Datuk Abdul Halim Hamad berkata, perkara itu penting kerana pihaknya mendapati terdapat syarikat bukan Islam menjalankan perniagaan dengan menggunakan nama atau lambang Islam dan Melayu yang boleh mengelirukan masyarakat.

"Kerajaan Negeri perlu meneliti semula garis panduan lesen yang diberikan kepada syarikat bukan Islam kerana Kerajaan Negeri mempunyai kuasa dalam bidang ini dan perlu merangka dasar baharu supaya syarikat bukan Islam tidak mengambil kesempatan menggunakan nama-nama berkaitan Islam.

"Bukan mahu boikot orang bukan Islam namun masyarakat Islam perlu jelas berkaitan halal dan haram," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata, ia secara jelas terdapat banyak kedai atau syarikat seolah-olah dimiliki oleh orang Islam namun realitinya bukan dimiliki oleh orang Islam berikutan terdapat perkara tidak sesuai dengan agama itu.

"Ia perlu diberikan perhatian dan diperbetulkan kerana amat mengelirukan masyarakat muslim, garis panduan baharu perlu dikeluarkan bagi mengelakkan bukan Islam tidak mengambil kesempatan.

"Hubungan kaum di negera ini amat baik namun hal hukum halal dan haram tidak boleh bertolak ansur kerana ini telah ditetapkan oleh agama Islam," katanya.

Beliau berkata, selain itu pihaknya menyokong kempen Buy Muslim' First (BMF) kerana ia bagi kepentingan masa hadapan orang Islam yang selama ini tidak berikan perhatian.

"Justeru, pihak Kerajaan Negeri juga sepatutnya memainkan peranan yang sama mendokong kempen BMF bagi memastikan kejayaan kempen ini demi kepentingan umat Islam di Malaysia.

"Kami menyarankan Kerajaan Negeri dapat menguatkuasa undang-undang mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan tidak mengeluarkan lesen perniagaan kepada kedai atau syarikat bukan Islam menggunakan nama Melayu atau Islam sedangkan pemilik sebenarnya bukan Islam," katanya.

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel