Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Jeritan adik selamatkan kakak daripada menjadi korban kebakaran


Tarikh kemaskini: 08/10/2019




KUALA TERENGGANU, 8 Okt -- Jeritan adik menyelamatkan kakaknya daripada menjadi korban kebakaran sebuah rumah dua tingkat di Kampung Paloh Sungai Kiat dekat sini, pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira 7.45 pagi itu, Rosnani A. Rashid, 64, sedang berehat di bahagian tingkat bawah sebelum mendengar jeritan adiknya Sa’diah, 58, yang ketika itu sedang bersiap untuk pergi bekerja.

“Ketika mendengar jeritan adik, saya menyangkakan ada biawak masuk ke rumah dan mungkin dia sedang cuba menghalau haiwan itu. Namun apabila saya mendengar bunyi riuh rendah, saya pergi membuka tingkap dan dengar dia (Sa’diah) kata ada api.

“Kemudian datang seorang pemuda yang menaiki motosikal menjerit menyatakan rumah saya terbakar dan minta saya keluar. Saya sempat jerit supaya adik dari tingkat atas turun kerana api tengah marak,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

Rosnani, yang menghidap penyakit saraf dan menyebabkan beliau sukar bergerak, berkata beliau menggagahkan diri dan berjaya keluar dari rumah ketika api sedang marak.

“Saya ini sebenarnya menggunakan kerusi roda untuk bergerak dan baru dapat berjalan perlahan-lahan beberapa hari ini setelah menerima rawatan fisioterapi di hospital,” kata Rosnani.

Sementara itu, Sa’diah berkata hanya beliau dan kakaknya tinggal di rumah itu dan mereka tidak sempat menyelamatkan apa-apa kerana api marak terlalu cepat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, sejurus menerima panggilan pada pukul 7.50 pagi, 33 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu dan BBP Jalan Kota dikejarkan ke lokasi kejadian. 

Ketika pasukan bomba tiba, api telah pun marak dan membakar bahagian atas rumah yang diperbuat daripada kayu dan bomba mengambil masa kira-kira 15 minit untuk memadamkan kebakaran.

Kebakaran itu menyebabkan kerosakan hampir 100 peratus pada bahagian atas dan 50 peratus di bahagian bawah rumah, katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Pekan Rantau Panjang kembali pulih

 
     

Pesta Pulau Pinang sasar 500,000 pengunjung

 
     

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel