Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

JTK Pahang siasat 45 majikan atas pelbagai kesalahan


Tarikh kemaskini: 08/10/2019




KUANTAN, 8 Okt -- Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Pahang telah membuka 63 kertas siasatan terhadap 45 majikan atas pelbagai kesalahan bermula Januari lalu sehingga setakat kini.

Pengarah JTK Pahang Pezman Che Hussin berkata kertas siasatan itu adalah hasil 2,196 pemeriksaan yang dilakukan mereka di tempat kerja melibatkan pelbagai sektor seperti perkhidmatan, perkilangan dan perladangan. 

"Antara kesalahan paling banyak dilakukan ialah gagal menyimpan daftar pekerja, gagal menyedia syarat perkhidmatan bertulis kepada pekerja, tiada pemberian cuti tahunan, cuti sakit dan cuti sakit bergaji. 

"Selain itu, ia juga melibatkan kesalahan gagal melapor butir penggajian pekerja asing kepada JKT dalam tempoh 14 hari, gagal membayar upah dalam tempoh ditetapkan dan membayar upah selain menerusi bank tanpa kebenaran bertulis pekerja," katanya. 

Pezman berkata demikian pada sidang media Operasi Bersepadu JTK Pahang bersama Jabatan Imigresen Pahang di Wisma Persekutuan di sini hari ini.  

Beliau juga memaklumkan pada tahun lalu, JTK Pahang membuka 72 kertas siasatan atas pelbagai kesalahan dengan 47 tawaran kompaun dikeluarkan manakala bayaran kompaun yang diterima ialah RM66,000 selain dua kes diselesaikan di mahkamah dengan denda RM3,100. 

Mengulas mengenai tindakan majikan membayar gaji secara tunai, Pezman berkata perkara itu tidak digalakkan walaupun terdapat kebenaran bertulis dari pekerja kerana terdapat risiko wang hilang akibat dicuri. 

"Perkara ini banyak berlaku dalam sektor perladangan dan kita berpandangan mungkin kerana faktor jarak yang agak jauh antara premis ladang dengan bank menyebabkan mereka mengambil keputusan sedemikian," katanya. 

Berhubung operasi hari ini, Pezman berkata pemeriksaan melibatkan dua premis dengan satu majikan yang menjalankan perniagaan memproses ayam dikenakan saman hadir ke pejabat JTK kerana didapati melanggar beberapa peruntukan di bawah Akta Kerja 1955. 

Antara kesalahan itu ialah tidak memberikan terma dan syarat perkhidmatan lengkap kepada pekerja, gagal mematuhi perkiraan upah biasa bagi perkiraan upah kerja lebih masa dan gagal mendapatkan kebenaran bertulis untuk membayar gaji secara tunai. 

Pezman berkata seramai 18 pekerja asing dari Nepal, Bangladesh dan Indonesia juga ditahan Jabatan Imigresen kerana menyalahguna pas lawatan serta tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah untuk berada di Malaysia. 

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

Seksyen 5 tol WCE dibuka mulai 10 malam ini

 
     

Banjir: Tiga daerah di Sabah terjejas setakat 12 tengah hari

 
     

17 kampung di Membakut, Beaufort terjejas banjir

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel