Pelajar UMK Bachok terima sumbangan air mineral dan tong air
Tarikh kemaskini: 08/10/2019
KOTA BHARU, 8 Okt -- Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah mengambil inisiatif bagi menyelesaikan masalah gangguan bekalan air bersih yang dialami penghuni Kolej Kediaman Sementara IBS di UMK Kampus Bachok dengan menyumbang bekalan air mineral dan tong air kepada pelajar terkesan.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Dr Zaliman Sauli berkata keselesaan dan kebajikan pelajar sentiasa menjadi perhatian pihaknya terutamanya yang terkesan dengan masalah air bersih itu.
"Sumbangan air minuman botol dan tong bagi tadahan air diharap sedikit sebanyak akan meringankan kesulitan yang dihadapi oleh pelajar.
Sebanyak 700 botol air mineral 10 liter dan pengagihan tong air untuk tujuan menadah air telah diagihkan kepada pelajar khususnya untuk kegunaan harian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sebelum ini Bernama melaporkan UMK menyediakan pelan jangka panjang bagi menangani gangguan bekalan air khususnya di kampus Bachok dengan membina dua telaga tiub serta sistem penapisan air bernilai RM400,000 bagi mengatasi gangguan bekalan air.
Zaliman berkata pihaknya berharap pelajar yang mendiami kolej kediaman IBS bersabar untuk sementara waktu dan pembinaan telaga tiub dapat berjalan lancar.
"Pembinaan telaga tiub telah dibincangkan antara pihak pengurusan universiti dan akan dilaksanakan dengan kadar segera agar isu bekalan air tidak mengganggu tumpuan pelajar dalam pengajian masing-masing.
“Bagi meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh pelajar, pihak UMK melalui Seksyen Pengurusan Asrama dan Seksyen Kebajikan dan Tatatertib, Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni mengambil inisiatif dengan mengagihkan bantuan air mineral dan tong air kepada pelajar Kolej Kediaman Sementara IBS," katanya.
-- BERNAMA
|