Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Perkeso bantu tiga beradik yatim piatu, jadikan anak angkat


Tarikh kemaskini: 08/10/2019





MARANG, 8 Okt -- Nasib tiga beradik yang kehilangan ibu bapa akibat kemalangan jalan raya di Muadzam Shah, Rompin, baru-baru ini terus mendapat perhatian pelbagai pihak. 

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) turut tidak ketinggalan dalam menghulurkan bantuan dan hari ini mereka menjadikan Aryan Rizqy Muhammad Noor Idham, 6; Areesh Razeen, 4; dan Arfaan Rakeen, 2, sebagai anak angkat.

Perkeso juga menyampaikan cek faedah pengurusan mayat sebanyak RM4,000 selain pencen penakat lebih RM900 sebulan sehingga usia tiga beradik tersebut 21 tahun.

Majlis penyerahan itu dilakukan oleh Pengarah Perkeso Terengganu, Farihah Che Husin kepada nenek kanak-kanak tersebut Zainab Mamat, 61. Turut hadir isteri Menteri Besar Terengganu, Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Abdul Rahman.

Farihah berkata semakan pihaknya mendapati keluarga berkenaan berhak dan layak mendapat ganjaran faedah pengurusan mayat dan pencen penakat kerana ibu bapa kepada tiga beradik itu iaitu Muhammad Noor Idham Ramli, 31, dan Surawati Mohd, 33, merupakan pencarum Perkeso.

Dalam kejadian pukul 4.53 pagi Khamis lepas, Muhammad Noor Idham meninggal dunia selepas kereta Perodua Myvi yang dinaiki mereka lima beranak bertembung dengan sebuah lori muatan baja di Kilometer 134 Jalan Kuantan-Seremban, Rompin.

Isterinya pula menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Muadzam Shah, Pahang kira-kira tiga jam kemudian manakala Aryan Rizqy, Areesh Razeen,  dan Arfaan Rakeen yang turut terbabit dalam kemalangan itu cuma cedera ringan. 

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     

Nelayan hilang ditemui lemas di Kuala Dungun pagi ini - bomba

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel