B-Gg-wVTg6w Dihukum penjara 40 tahun 24 sebatan, lakukan sumbang mahram terhadap anak
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Dihukum penjara 40 tahun 24 sebatan, lakukan sumbang mahram terhadap anak


Tarikh kemaskini: 08/10/2019





KUALA TERENGGANU, 8 Okt -- Perbuatan keji seorang pemandu lori yang melakukan sumbang mahram, seks luar tabii dan merakam video pornografi terhadap anaknya yang berusia 11 tahun, terbalas apabila dihukum penjara 40 tahun dan 24 kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen, hari ini.

Hakim Nooriah Osman menjatuhkan hukuman tersebut setelah lelaki berusia 41 tahun itu mengaku bersalah melakukan empat kesalahan ke atas anak sulungnya.

Ketika penghakiman Nooriah berkata walaupun lelaki itu mengaku bersalah sejak hari pertama dituduh namun perbuatan tertuduh amat terkutuk di sisi agama apatah lagi kanak-kanak tersebut adalah orang kurang upaya (OKU) kategori lemah pempelajaran.

Katanya, tertuduh sepatutnya menjadi contoh yang baik dan mendidik anaknya itu tetapi mengambil kesempatan atas ketidakupayaannya dan perbuatan itu akan meninggalkan trauma yang berpanjangan kepada mangsa.

Menurut fakta kes yang dikemukakan di mahkamah, kejadian tidak bermoral lelaki itu disedari isteri tertuduh selepas terlihat video berdurasi 5.09 minit yang memaparkan kelakuan tertuduh sedang melakukan hubungan seks dengan anaknya.

Mangsa yang disoal ibunya, kemudian memberitahu bahawa telah dipaksa melakukan perbuatan terlarang itu sejak berusia enam tahun lagi.

Bagi pertuduhan pertama iaitu melakukan persetubuhan dengan mangsa, tertuduh dihukum penjara 20 tahun dan lapan sebatan manakala pertuduhan kedua yang membabitkan kesalahan yang sama juga dihukum penjara 20 tahun dan lapan sebatan.

Nooriah memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan secara berasingan bermula dari tarikh tangkap 22 Sept lepas.

Bagi pertuduhan melakukan seks luar tabii, tertuduh diperintah dipenjara selama 12 tahun dan dua sebatan manakala kesalahan melakukan video pornografi dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan enam sebatan. Hukuman tersebut diperintah berjalan secara serentak bermula tarikh tangkap.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh berada di bawah pengawasan polis selama setahun. 

Tertuduh yang kelihatan tenang di kandang tertuduh, didakwa melakukan kesalahan itu antara 20 dan 21 September lepas,  pukul 11 hingga 5 pagi di sebuah rumah di sekitar Marang, di sini.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Zulfazliah Mahmud manakala tertuduh tidak diwakili peguam.  

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Ops Catut PSP: KPDNHEP Sabah hantar notis pengesahan kepada 15 kilang

 
     

Dua buah PPS dibuka di Kuching setakat 8.00 malam

 
     

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort bertambah kepada 427 orang

 
     

Penetapan wawasan baharu ISOM untuk APEC terima respons positif

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel