Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Peruntukan RM35 juta bantu pekebun kecil getah terjejas tengkujuh di Sabah


Tarikh kemaskini: 08/10/2019





TENOM, 8 Okt  -- Kerajaan menyalurkan sejumlah RM35 juta kepada Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) untuk dibayar kepada 58,333 pekebun kecil di seluruh negeri ini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Junz Wong berkata, peruntukan itu bagi Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) kepada pekebun kecil getah bagi meringankan bebanan kewangan sepanjang musim tengkujuh.

"Bantuan yang diberikan RM200 sebulan selama tiga bulan iaitu untuk November dan Disember bagi tahun 2018 dan Januari bagi tahun 2019,” katanya pada majlis penyerahan Bantuan Musim Tengkujuh dan Penyerahan Geran Tanah kepada penoroka Skim Penempatan Getah Kuala Tomani dan Lagud Seberang di sini, hari ini.

Seramai 5,678 penerima bantuan itu di Tenom yang melibatkan perbelanjaan berjumlah RM3.4 juta yang mula diagih-agihkan hari ini.

Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, yang juga Wakil Rakyat Melalap, Datuk Peter Anthony turut hadir pada majlis yang dihadiri kira-kira 2,000 ekebun kecil di seluruh daerah Tenom itu.

Mengenai projek penanaman baharu dan semula getah di negeri ini, Junz berkata pada tahun ini seluas 5,016 hektar telah diusahakan untuk menempatkan 1,672 pekebun kecil.

“Di Tenom sahaja seluas 19,311.65 hektar telah ditanam untuk penempatan bagi 5,417 pekebun kecil,” katanya.

Selain memberi penumpuan kepada getah sebagai sumber pendapatan kepada pekebun, LIGS juga menjalankan program dikenali sebagai Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET), bagi memastikan pekebun memperoleh pendapatan sampingan.

Tanaman yang disyorkan di bawah projek AET termasuk penanaman halia, lada hitam, buah-buahan serta pemeliharaan madu kelulut. Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan RM3 juta untuk melaksanakan projek berkenaan, katanya.

Kerajaan juga telah memperkenalkan Skim Insentif Pengeluaran Getah (IPG) bagi mengurangkan impak kejatuhan harga getah.

Katanya, bantuan IPG akan dibayar kepada pekebun kecil apabila purata harga bulanan getah berada di bawah paras harga lantai iaitu RM2.50 sen sekilogram.

"Pada ketika ini harga getah di Sabah lebih mahal berbanding di Semenanjung, di Sabah kita membeli dengan harga RM2.80 seilogram berbanding RM2.50 sekilogram di sana (Semenanjung),” katanya.

 -- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Ops Catut PSP: KPDNHEP Sabah hantar notis pengesahan kepada 15 kilang

 
     

Dua buah PPS dibuka di Kuching setakat 8.00 malam

 
     

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort bertambah kepada 427 orang

 
     

Penetapan wawasan baharu ISOM untuk APEC terima respons positif

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel