Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan Persekutuan perlu tingkat kerjasama laksana projek pembangunan luar bandar di Sabah - Ewon


Tarikh kemaskini: 09/10/2019





KENINGAU, 9 Okt -- Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan perlu mempertingkatkan kerjasama dan penyelarasan antara kerajaan negeri dalam pelaksanaan projek-projek pembangunan luar bandar di Sabah.

Beliau berkata, ini penting bagi memastikan projek-projek pembangunan yang dilaksanakan itu benar-benar memberi manfaat dan menyelesaikan masalah rakyat luar bandar.

“Pelaksanaan projek pembangunan luar bandar tanpa penyelarasan dengan kerajaan negeri seperti Pejabat Daerah dan pemimpin setempat akan menyebabkan projek tersebut tidak dapat menyelesaikan masalah rakyat.

“Misalnya pembinaan jambatan gantung di sebuah kampung di Keningau. Saya menerima aduan dan melawat jambatan gantung berkenaan dan mendapati ia dibina di tempat yang tidak sepatutnya.

“Saya agak khuatir sebab ianya akan menyebabkan reaksi tidak baik dikalangan penduduk kampung kerana jambatan gantung lama yang sepatutnya perlu dibaiki tidak dibaiki, sebaliknya dibina pula sebuah jambatan gantung baharu di tempat lain yang tiada sungai,” katanya.    

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Kursus Pengurusan dan Pentadbiran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kawasan Nabawan, di Perkasa Hotel, di sini, pada Selasa.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, beliau telah memaklumkan perkara itu kepada ketua jabatan persekutuan terbabit termasuk dalam mesyuarat Kabinet (pada Rabu) bahawa penyelarasan antara agensi-agensi persekutuan dan Pejabat Daerah perlu ditambah baik.

“Ada keperluan yang sangat mustahak mengenai penyelarasan ini dan Pejabat Daerah mesti terlibat dalam apa juga proses untuk melaksanakan projek-projek kecil, sederhana atau berskala besar.

“Ketiadaan penyelarasan itulah yang menyebabkan projek-projek kecil (pembinaan jambatan gantung) dilaksanakan seolah-olah “melepaskan batuk ditangga”, bukan untuk menyelesaikan masalah rakyat tetapi mewujudkan satu masalah baharu yang kita kena jawab kepada rakyat,” katanya.

Ewon berkata, beliau difahamkan bahawa Pejabat Daerah Keningau dan Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) kawasan itu tidak terlibat dalam perolehan pelaksanaan projek berkenaan.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel