Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan sokong inisiatif Econsave, MyCARE bantu madrasah tahfiz


Tarikh kemaskini: 09/10/2019





KLANG, 9 Okt -- Kerajaan menyokong inisiatif pasar raya Econsave dan badan bukan kerajaan (NGO) Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) yang menyalurkan bantuan berbentuk kewangan dan peralatan mencegah kebakaran kepada madrasah tahfiz di Selangor, Kuala Lumpur serta seluruh negara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata ini kerana institusi pendidikan itu terutamanya yang tidak berdaftar dengan kerajaan sering menghadapi pelbagai masalah antaranya berkaitan dana dan pengiktirafan pensijilan.

“Saya sedia maklum dengan masalah dan cabaran-cabaran dihadapi madrasah tahfiz terutama yang tidak berdaftar. Disebabkan itu, inisiatif Econsave dan MyCARE perlu diberi sokongan termasuk daripada semua pihak supaya usaha mereka berjaya dilaksanakan,” katanya semasa berucap pada majlis penyerahan bantuan ‘Projek Madrasah Impianku’ di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Fuziah menyaksikan penyerahan replika cek bantuan untuk 65 madrasah tahfiz di Selangor dan Kuala Lumpur berjumlah RM235,000 oleh Pengurus Besar Econsave Mas Imran Adam dan Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE Kamarul Zaman Shaharul Anwar kepada Presiden Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al Quran (PINTA) Zahid Mahmood.

Sementara itu, Fuziah berkata pihaknya sedang dalam fasa akhir untuk membentangkan rang undang-undang bagi mewujudkan akta wakaf kepada Parlimen pada persidangan yang sedang berlangsung sejak Isnin lepas.

“Kita sedang fokus kepada perbincangan mengenai perkara ini dan diharap ia dapat dibentangkan dalam sidang Parlimen yang sedang berlangsung hingga Disember ini. Dengan adanya akta itu, kita lihat ia akan dapat memperkasakan (fungsi) Yayasan Waqaf Malaysia.

“Malah, kita boleh jadikan akta ini kelak sebagai dasar untuk bina satu tabung khas bagi membangunkan pusat-pusat tahfiz,” katanya.

Dalam pada itu, Mas Imran berkata pemberian bantuan berkenaan adalah supaya madrasah tahfiz dapat meningkatkan prasarana mereka khususnya berkaitan pencegahan kebakaran selain menaik taraf aspek pengurusan dan pentadbiran.

“Selain bantuan kewangan berjumlah RM2,000 kepada setiap madrasah tahfiz terlibat bagi menampung kos operasi, mereka juga menerima sumbangan peralatan mencegah kebakaran bernilai RM1,500,” katanya

Menerusi Projek Madrasah Impianku itu, sebanyak 187 madrasah tahfiz di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Selangor telah menerima bantuan berkenaan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Najib atur penipuan SRC sejak dari mula - Peguam Negara

 
     

JAS Johor pergiat pemantauan di sungai tercemar, kritikal di Pasir Gudang

 
     

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel