Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Polis Perak siap sedia sekiranya PRN diadakan


Tarikh kemaskini: 10/10/2019





IPOH, 10 Okt -- Polis Perak akan sentiasa bersiap sedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Perak diadakan pada bila-bila masa.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain@Abd Rasid berkata, bagaimanapun pihaknya tidak nampak kemungkinan PRN akan berlaku dalam masa terdekat.

"Kita tak nampak ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) DAP keluar parti, mereka cuma letak jawatan dalam parti tetapi masih sebagai ADUN Malim Nawar (Leong Cheok Keng) dan ADUN Pokok Assam (Leow Thye Yih)," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini, hari ini.

Razarudin diminta mengulas mengenai berita tular kononnya PRN Perak akan diadakan tidak lama lagi berikutan beberapa ADUN dari DAP akan keluar parti dan menjadi Bebas.

Berita tular itu turut disertakan dengan satu tangkap skrin sekeping surat bertarikh 23 Sept lepas daripada Jabatan Pendidikan Negeri kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri bagi membenarkan Suruhanjaya Pilihan Raya mengadakan lawatan amal tapak ke sekolah-sekolah sebagai pusat mengundi di dalam negeri ini.

Dalam perkembangan lain, Razarudin berkata, kertas siasatan berhubung kes melepaskan tembakan membabitkan seorang pegawai Pasukan Gerakan Am (PGA) Hulu Kinta di rumah tunangnya di Taman Merdeka di sini Ahad lepas, hampir siap sepenuhnya.

Kertas siasatan itu dijangka diserahkan kepada pengarah pendakwaan negeri, Isnin hadapan untuk tindakan selanjutnya.

"(Pegawai berkenaan) masih lagi direman selama tujuh hari sehingga 13 Okt ini," katanya sambil menambah kes itu disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, kerana cubaan bunuh.

Dalam kejadian petang Isnin lepas, pegawai berpangkat Inspektor berusia 29 tahun itu, pergi ke rumah tunangnya yang berusia dalam lingkungan 20-an sebelum mereka bergelut dan suspek melepaskan tembakan yang terkena kaki anjing peliharaan tunangnya itu.

Pegaduhan itu dipercayai berpunca akibat  masalah perhubungan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel