Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

“Ali” si tukang jahit busana Melayu dan India


Tarikh kemaskini: 10/10/2019




Oleh Nur Fatin Mohmad Kadenen

JOHOR BAHRU, 10 Okt -- Siapa menyangka di sebalik deretan kedai di pekan Ulu Tiram, di sini terdapat sebuah kedai tukang jahit milik seorang warga emas berbangsa Tiong Hua yang mampu menghasilkan pelbagai pakaian termasuk busana kaum Melayu dan India semenjak 40 tahun yang lepas.

Hanya mahu dikenali sebagai ‘Ali’, warga emas berusia 65 tahun itu mendalami ilmu jahitan seawal usia 12 tahun ketika bekerja di sebuah kedai tukang jahit di Singapura.

Anak kelahiran Perak Darul Ridzuan itu menjelaskan lebih gemar dipanggil ‘Ali’ kerana selesa dengan nama jolokan yang diberikan oleh pelanggannya yang berbilang bangsa itu.

“Saya terima dan tidak kisah orang panggil (nama) apa pun, (tetapi) Ali sudah cukup,” kata bapa kepada dua cahaya mata itu kepada Bernama, di sini, hari ini.

Perniagaan bersama suri hatinya yang juga hanya mahu dikenali sebagai 'Nyonya’, 60, turut dibantu empat pekerja lain untuk menghasilkan pelbagai  tempahan baju mengikut permintaan pelanggan, sama ada busana pengantin Melayu, baju Melayu, kurung serta pakaian kaum India dan Cina.

Menurut Ali, kedai jahitnya itu sering menjadi pilihan pelanggan di sekitar kawasan Pekan Ulu Tiram dan Kota Tinggi.

“Apa saja baju, saya boleh buat… macam baju orang Melayu dan India, saya belajar jahit dengan cara melihat baju contoh yang diberi,” katanya yang turut menerima tempahan baju korporat, pihak berkuasa dan baju sekolah.

Mencari nafkah di negeri ini sejak sekian lama, ‘Ali’ memberitahu dia mempunyai hubungan yang baik dengan pelanggannya yang sudah dianggap seperti rakan karibnya sendiri.

“Saya masih ingat pesanan ayah dan ibu dahulu, kita kena buat baik dengan semua orang… kalau tidak, macam mana mahu cari makan.

“Kalau hati kita baik, semua orang suka… tidak kiralah apa pun warna kulit, apa sahaja bangsa, kita semua adalah makhluk tuhan. Cara sembahyang lain-lain, tapi ikut semua kepercayaan mesti tahu, tuhan akan marah kalau hati kita tidak baik,” katanya.

Mengimbau kenangan ketika mula menjalankan perniagaan, dia berkata ketika itu pekan berkenaan sangat sibuk dan meriah kerana menjadi tumpuan penduduk setempat.

“Sekarang sudah lain, pelanggan juga kurang tidak seperti dahulu… mungkin sebab banyak kawasan perumahan di kawasan lain sudah dibangunkan.

“Bila makin lama dan sudah makin tua, saya juga tidak boleh ambil banyak tempahan terlalu banyak, kerana pekerja juga kurang, dulu ada 20 pekerja… sekarang sikit sebab susah mahu jumpa orang yang boleh menjahit dengan baik,” katanya.

Walaupun menyedari perniagaannya itu tidak akan diteruskan oleh generasi seterusnya, dia tidak pernah putus semangat atau merancang untuk menutup kedai jahit yang dibangunkan menggunakan tulang empat keratnya itu.

“Anak memang tidak minat dan tidak reti menjahit.  Malah ada juga orang minta saya ajar, tetapi buat masa ini tidak. Mungkin satu hari nanti kalau saya tidak lagi meniaga, saya akan mula mengajar orang pula,” katanya.

Dalam masa sama, dia turut melahirkan kesyukuran kerana dilahirkan di negara yang didiami pelbagai kaum yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan agama.

“Kalau hati baik, yang baik-baik saja akan terjadi dalam kehidupan kita. Saya tidak pernah kira apa pun bangsa.. kalau semua orang fikir macam ini, tidak akan ada pergaduhan dan semua akan cari makan sama-sama.

“Saya selalu pesan dengan anak, mesti kena buat baik dengan semua orang. Jangan kacau orang, hati kena baik, baru hidup akan senang,” kata lelaki yang semakin dimamah usia.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel