Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sikap positif ibu penguat semangat wartawan Kosmo!


Tarikh kemaskini: 10/10/2019





KUANTAN, 10 Okt -- Sikap positif ibu menjadi kekuatan buat wartawan Kosmo! Mohd Ghazali Alias apabila menerima notis penamatan operasi akhbar itu secara mengejut semalam.

Mohd Ghazali, 29, yang sudah lima tahun berkhidmat berkata walaupun ada mendengar ura-ura berita itu sejak malam kelmarin, namun beliau masih berharap perkara itu tidak benar semasa bersiap untuk ke tempat kerja semalam. 

Beliau yang sudah lima tahun berkhidmat, termasuk pernah ditugaskan di Biro Pahang, mengakui perlu mengumpul kekuatan sebelum menghubungi ibunya Rokiah Zakaria, 64, pada sebelah petang untuk memaklumkan khabar duka itu.

"Emak hanya mendengar dan selepas saya kembali tenang, dia mengingatkan saya bahawa rezeki itu kerja Allah. Tidak mengapa jika sudah tiada rezeki dan insya-Allah, akan ada penggantinya asalkan kita rajin.

"Beliau begitu positif dan sebelum ini, semasa berdepan dengan masalah gaji pun, beliau masih optimis keadaan boleh pulih dan menasihatkan saya supaya bersabar," katanya semasa dihubungi Bernama di sini, hari ini. 

Mohd Ghazali mengakui masih berharap dapat terus menjadi 'tukang tulis' dengan Kosmo! jika benar percetakan akhbar itu akan diteruskan pada masa depan, berdasarkan kepada perkembangan yang dimaklumkan. 

Apatah lagi, beliau baru sahaja memulakan semester pertama Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa di Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada September lepas, menyebabkan beliau perlu untuknya mempunyai pendapatan tetap. 

"Tak sangka dapat panggilan untuk sambung belajar dan semasa mula mendaftar pun, keadaan kewangan di tempat kerja sudah terjejas menyebabkan saya mengeluarkan wang Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) untuk bayaran yuran. 

"Jika tiada khabar berita gembira dalam tempoh dua minggu daripada syarikat, mungkin saya perlu serius mencari kerja lain. Emak beritahu supaya pulang ke kampung jika tidak mendapat kerja untuk bertenang sebelum membuat rancangan baru," katanya. 

Bagi wartawan Utusan Malaysia, Mohamad Shofi Mat Isa, 35, berkata beliau masih tidak mempunyai perancangan memandangkan penutupan operasi akhbar itu berlaku secara mengejut, selain berharap supaya dirinya antara yang terpilih untuk meneruskan perkhidmatan. 

Beliau yang merupakan penanggung tunggal keluarga berkata dirinya mempunyai komitmen yang tinggi kerana bayaran ansuran rumah dan kereta, selain dua anak yang masih kecil berusia tiga tahun dan sembilan bulan.

"Wang simpanan juga sudah hampir habis kerana digunakan menampung bulan-bulan tiada gaji sebelum ini. Syarikat juga masih belum menjelaskan gaji September... harapnya gaji itu masuk serentak dengan bulan ini. 

"Walaupun masih berharap dapat kembali bekerja, saya sedar perlahan-lahan sudah kena mencari jalan lain untuk meneruskan kelangsungan hidup. Belanja harian semakin mahal apatah lagi barangan bayi dan kanak-kanak," katanya. 

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Henry Golding tersenarai dalam Time 100 Next

 
     

Produk plastik satu daripada industri paling rancak di Malaysia - Dr Ong

 
     

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel