Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Jual MyKad : Enam tertuduh kemuka notis usul dan afidavit


Tarikh kemaskini: 10/10/2019





GEORGE TOWN, 10 Okt -- Pasukan pembelaan bagi kes enam individu termasuk seorang Penolong Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang yang berdepan 13 pertuduhan berhubung sindiket pengeluaran dan penjualan sijil kelahiran serta kad pengenalan secara tidak sah kepada warga asing mengemukakan notis usul dan afidavit di Mahkamah Tinggi.

Perkara itu dimaklumkan oleh  peguam Datuk Ranjit Singh Dhillon yang mewakili Chien Guan Chai,36, dan Mohd Faizal Tan Abdullah,66, ketika kes itu disebut di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Satwinder Singh di sini hari ini.

Perkara sama turut dimaklumkan oleh  peguam-peguam bagi empat lagi tertuduh dalam kes itu.

Notis usul itu adalah memohon Mahkamah Tinggi untuk menentukan soal undang-undang sama ada pertuduhan di bawah Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 ke atas anak guam mereka adalah merupakan kesalahan sekuriti di bawah  Akta Kesalahan-Kesalahan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Mereka juga memohon  supaya anak guam masing-masing dapat dibebaskan dengan jaminan mahkamah.

Buat masa ini keenam-enam tertuduh masih lagi ditahan kerana mereka didakwa di atas kesalahan di bawah SOSMA yang tidak boleh dijamin. 

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari memaklumkan mahkamah pihaknya telah menyerahkan sebahagian dokumen kepada pihak peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 17 Okt ini untuk pengurusan kes.

Pada 3 Okt lalu, Penolong Pengarah JPN Pulau Pinang, Mohd Faizul Arifin, 34; Mohd Faizal Tan Abdullah, 66, Yap Cheng Wah, 43; Loh Chan Cheong, 34, dan Chien Guan Chai, 36, masing-masing mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 manakala ahli perniagaan Datuk Lai Chin Wah, 56, turut mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan mengikut seksyen yang sama.

Bagi dua pertuduhan itu, Mohd Faizul didakwa membuat dokumen pengenalan diri fraud iaitu sijil kelahiran dan kad pengenalan atas nama Ewe Chor Beng bagi maksud memudahkan suatu perbuatan penyeludupan migran di Ibu Pejabat JPN Negeri Pulau Pinang Bangunan Persekutuan, Jalan Anson, di sini antara bulan Januari hingga Februari 2019.

Mohd Faizal Tan, Yap, Loh dan Chien masing-masing didakwa atas dua pertuduhan menjual sijil kelahiran dan kad pengenalan atas nama Ewe Chor Beng di sekitar kawasan George Town pada tempoh yang sama.

Lai pula didakwa atas tiga pertuduhan menjual sijil kelahiran, kad pengenalan dan pasport atas nama Ewe Chor Beng di sekitar kawasan George Town antara Januari hingga Mac 2019. 

Untuk kesemua pertuduhan itu, mereka masing-masingnya didakwa mengikut Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) yang memperuntukkan hukuman penjara minimum tujuh tahun dan maksimum 15 tahun serta boleh dikenakan denda tidak kurang RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel