Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Cuapecs : Kerajaan diharap pertimbang insentif anggota, pegawai imigresen bertugas di pintu masuk negara


Tarikh kemaskini: 10/10/2019





JOHOR BAHRU, 10 Okt -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap agar kerajaan mempertimbangkan pemberian bayaran insentif kepada anggota dan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang bertugas di pintu-pintu masuk negara dalam pembentangan Belanjawan 2020.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata pemberian insentif itu penting berikutan terdapat kemungkinan anggota dan pegawai yang bertugas terdedah kepada risiko kesihatan daripada pencemaran asap dan sebagainya.

Katanya, setakat ini insentif berkenaan hanya diberikan kepada petugas di depoh tahanan imigresen dan bahagian penguatkuasaan seluruh negara.

“Sebelum ini ada minta, tetapi nampak agak perlahan dari segi proses. Jadi kami berharap ini dapat jadi sebagai motivasi kepada pegawai dan anggota yang bertugas.

Kerana tidak banyak iaitu RM200 sahaja untuk seorang...jadi pertimbangkanlah,” katanya selepas sesi dialog anjuran Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini, hari ini.

Buat masa ini, terdapat 5,297 anggota dan pegawai imigresen yang berkawal di pintu-pintu masuk negara.

Beliau turut memberi cadangan kepada pihak kerajaan agar menambah kamera litar tertutup (CCTV) di kesemua pintu-pintu masuk negara yang dilihat tidak mencukupi.

“Seperti di BSI, kami lihat bangunan ini sangat kekurangan dari segi CCTV, maknanya kalau ada apa-apa berlaku, kita tidak boleh lakukan semak dan imbang ataupun lakukan semakan semula,” katanya.

Azih juga berkata terdapat permohonan untuk mewujudkan sebuah pusat kesihatan ataupun klinik harian untuk kegunaan anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi yang bertugas termasuk orang awam di BSI.

“Sekiranya ada kecemasan seperti kemalangan dalam kompleks, susah. Jika ada orang kena serangan jantung dan sesak nafas mahu dibawa ke mana.

Jadi ini antara penambahbaikan... dan kita mulakan di BSI terlebih dahulu,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

   

 
 
     
   
 

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel