lCe2OQbOZ8Y Kanak-kanak perempuan maut jatuh lubang kumbahan
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kanak-kanak perempuan maut jatuh lubang kumbahan


Tarikh kemaskini: 10/10/2019





KUANTAN, 10 Okt  -- Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut akibat lemas selepas disyaki terjatuh ke dalam lubang kumbahan semasa bermain di rumah neneknya di Batu 5, Jalan Gambang di sini, semalam. 

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata mayat Nur Ariesha Abdul Rahman dijumpai dalam keadaan terapung selepas penduduk di kawasan itu mencari mangsa yang tidak pulang ke rumah selepas keluar bermain pada 5 petang. 

Mangsa yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik dikatakan keluar bersama dua abangnya berusia tujuh dan lapan tahun untuk ke rumah nenek mereka yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah mereka. 

"Pencarian menemui mangsa sekitar 8 malam apabila penduduk memeriksa lubang kumbahan itu yang berada dalam keadaan terbuka. 

Siasatan awal mendapati salah seorang kanak-kanak berusia lapan tahun yang turut bermain dengan mangsa telah membuka lubang kumbahan itu sebelum penutupnya terjatuh dan tenggelam ke dasar," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. 

Mohamad Noor berkata rakan sepermainan mangsa telah meninggalkan kawasan itu dalam keadaan lubang kumbahan itu terbuka tanpa menyedari mangsa berada dalam kalangan mereka dan kembali bermain di kawasan lain sebelum pulang. 

Kehilangan mangsa hanya disedari oleh abang mangsa selepas tiba di rumah menyebabkan ibunya, Helmi  Nordin, 39, meminta pertolongan jiran untuk mencari dan menghebahkan kehilangan itu di laman sosial. 

Kematian Nur Ariesha berlaku hanya berselang dua hari selepas seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun Mohammad Anas Hadif Ahmad Hafiz lemas juga akibat terjatuh ke dalam lubang kumbahan di Ipoh, Perak. 

Sementara itu, usaha untuk menemu bual ibu mangsa di lokasi kejadian pada tengah malam tadi dan di Bahagian Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini hari ini, tidak berhasil kerana beliau dan anggota keluarga lain enggan ditemu bual. 

Ibu mangsa yang menjual kuih berhampiran rumah juga dilihat ditenangkan anggota keluarga semasa menuntut jenazah mangsa yang difahamkan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pandan 2 di sini, selepas solat Asar hari ini. 

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

JAS Johor pergiat pemantauan di sungai tercemar, kritikal di Pasir Gudang

 
     

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel