BiLH4G8N0xk Warga Vietnam guna renjatan elektrik tangkap ikan ditahan
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Warga Vietnam guna renjatan elektrik tangkap ikan ditahan


Tarikh kemaskini: 10/10/2019





MERSING, 10 Okt  -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot nelayan tempatan yang dikendalikan warga Vietnam selepas didapati menangkap ikan dengan menggunakan kaedah renjatan elektrik di perairan Pulau Tokong Burung di Kuala Rompin, Pahang.

Pengarah Maritim Malaysia Zon Mersing Komander Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata pihaknya berjaya mengesan bot yang yang berada pada kedudukan tiga batu nautika Timur Laut perairan itu dalam Ops Jaksa kira-kira 11.15 pagi, pada Selasa lepas hasil maklumat risikan dan aduan orang ramai.

Beliau berkata bot dalam dalam keadaan mencurigakan itu cuba melarikan diri namun berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan mendapati kru bot berkenaan gagal mempamerkan pengenalan diri yang sah dan tidak mematuhi syarat sah lesen iaitu alat perenjat elektrik.

"Kita dapati bot berkenaan kerap melakukan kegiatan menangkap ikan terumbu di sekitar pulau perairan Pahang dan Johor melalui pemeriksaan 'GPS' (Sistem Penentu Kedudukan Global) menggunakan modus operandi merenjat ikan di sekitar 0.5 hingga dua batu nautika pada waktu malam sehingga subuh.

"Ketika pemeriksaan dilakukan, tekong tersebut juga cuba memberi sogokan berjumlah RM600 bagi mengelakkan sebarang tindakan dikenakan terhadap mereka," katanya pada sidang media di APMM Mersing di sini hari ini.

Haris Fadzillah berkata seramai enam awak-awak dan seorang tekong yang kesemuanya warga Vietnam berusia dalam lingkungan 27 hingga 48 tahun turut ditahan dan diserahkan kepada APMM Pos Tanjung Gemok dekat sini untuk siasatan lanjut.

"Turut dirampas peralatan yang digunakan untuk merenjat ikan yang disembunyikan di bahagian ruang rahsia di geladak belakang bot dan ketika anggota memeriksa bahagian enjin bot tersebut mesin pemampat dan tong gas oksigen untuk menyelam turut dijumpai," katanya.

Beliau berkata mereka akan disiasat mengikut  Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 atas kesalahan melanggar syarat lesen, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

"Kaedah merenjat ikan menggunakan elektrik boleh mengancam hidupan marin hingga mengganggu ekosistemnya dan mengakibatkan kepelbagaian biodiversiti di lokasi berkenaan akan berkurangan.

"APMM akan terus meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras dan menyekat aktiviti jenayah di perairan Mersing selain menyeru orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-2199404 dan  MERS 999 yang beroperasi 24 jam," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Aloysious Jounoh usahawan roti tempatan di Tuaran

 
     

Kementerian Pendidikan siap sedia hadapi banjir

 
     

Kos beli vaksin untuk pendatang asing akan diumumkan nanti

 
     

Perpaduan sebenar tidak kenal fahaman politik, amalan kepercayaan - Daud Yusof

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel