YSPM anjur program penguasaan Bahasa Inggeris di sekolah luar bandar
Tarikh kemaskini: 10/10/2019
KOTA BHARU, 10 Okt -- Program amal pendidikan 'English Proficiency Program for Rural School Student' yang dianjurkan oleh Yayasan Sarana Pendidikan Malaysia (YSPM) di dua buah sekolah luar bandar di Kelantan dilihat berjaya meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris pelajar di sekolah berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif YSPM, Mohamad Farid Mahmood berkata walaupun hanya empat bulan penganjuran, perubahan ketara dapat dilihat, terutama apabila ramai kalangan mereka yang terlibat tidak lagi 'malu-malu' berbanding sebelum ini.
"Walaupun rancangan asal adalah bagi memberi pendedahan kepada pelajar yang bakal menghadapi PT3 dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi ia sebenarnya memberi impak yang besar kepada pelajar.
"Kita juga sepanjang empat bulan itu sering mengadakan lawatan bagi melihat kesan program kepada pelajar dan hasilnya didapati amat memberangsangkan," katanya kepada Bernama selepas penutup program itu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penambang di sini, hari ini.
Dua sekolah menengah yang terlibat dalam program berkenaan adalah SMK Penambang dan SMK Badang, yang melibatkan 554 pelajar tingkatan Tiga dan Lima.
"Bagi program kali ini ia dibiayai sepenuhnya oleh Alliance Islamic Bank iaitu sebagai program khidmat sosial mereka dan kolaborasi bersama ini ternyata berkesan. Program yang bermula Mei lalu turut melibatkan sembilan orang guru bahasa Inggeris dengan modul pembelajaran khas Bahasa Inggeris," katanya.
Hadir sama pada majlis penutup kali ini adalah Naib Presiden Kanan Alliance Islamic Bank Zulfikar Hashman Jamalkhir dan Ketua Sektor Pengurusan Akademik Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan Mohd Hassany Hashim.
Mohammad Farid berkata program itu dilaksanakan melalui perkongsian kemahiran mengajar Bahasa Inggeris dengan modul yang dibangunkan khas oleh bekas guru cemerlang yang mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam mengajar subjek itu.
Beliau berkata modul Bahasa Inggeris itu dinamakan 'Guidance to Help Develop for Good Writing' dibangunkan khas berdasarkan buku teks Bahasa Inggeris di dalam dua set mengikut keupayaan dan pencapaian pelajar.
Katanya pelajar dibekalkan dengan dua set modul pembelajaran selain cakera padat yang mengandungi 245 jenis latihan manakala guru yang terlibat dibekalkan dengan bahan pengajaran yang mengandungi latihan bagi melaksanakan Pembelajaran Abad Ke -21.
Sementara itu Mohd Hassany berkata, JPN amat menghargai khidmat sosial yang disediakan oleh YSPM dalam usaha meningkatkan tahap pencapaian Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar di negeri ini.
Katanya pelbagai langkah telah diambil bagi memastikan pelajar di negeri ini menguasai bahasa Inggeris dengan baik namun hasrat itu belum tercapai dengan sepenuhnya kerana penguasaan pelajar dalam bahasa tersebut masih ditahap yang agak rendah.
-- BERNAMA.
|