Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Peneroka FELCRA minta kerajaan negeri henti penebangan pokok getah


Tarikh kemaskini: 10/10/2019





KOTA BHARU, 10 Okt -- Semua 348 peserta Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) Bukit Tandak, Rantau Panjang meminta kerajaan negeri memberhentikan proses penebangan dan pengeluaran kayu getah sehingga kes tuntutan berkaitan tanaman itu selesai di mahkamah.

Peguam, Mohd Nasir Abdullah, yang mewakili peserta FELCRA, berkata, peserta selaku plaintif, sudah menfailkan writ saman dan penyataan tuntutan kepada tiga defendan iaitu Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas, Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Kelantan dan kerajaan negeri pada 13 Sept 2018.

Beliau berkata plaintif telah permohonan injuksi interim pada 23 Dis 2018 bagi memohon supaya mahkamah mengarahkan defendan memberhentikan proses pengeluaran kayu getah sehingga kes saman selesai.

"Bagaimanapun, defendan memfailkan permohonan untuk membatalkan writ saman berkenaan sebelum mahkamah membuat keputusan bagi perbicaraan itu yang ditetapkan pada 17 Nov ini," katanya dalam satu sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata plaintif tidak mempertikaikan isu tanah kerana mahkamah telah memutuskan ia memihak kepada kerajaan negeri dan dianggap sudah selesai.

"Tuntutan yang dibuat ketika ini adalah berkaitan hak ke atas pokok getah yang mana kos penanaman sebanyakRM5.8 juta ditanggung sepenuhnya oleh plaintif tidak pernah diputuskan mahkamah sebelum ini.

"Persoalannya di sini, bagaimana jika mahkamah memutuskan tuntutan kes membabitkan pokok getah berpihak kepada plaintif sedangkan pokok sudah habis ditebang dan dijual?" katanya.

Beliau berkata, kira-kira 720 pokok getah  membabitkan keluasan 1.6 hektar tanah sudah ditebang pihak kontraktor yang dilantik kerajaan negeri sejak bulan lepas.

Dalam pada itu katanya, plaintif juga melahirkan kekesalan berikutan keengganan kerajaan negeri berada di meja rundingan bagi membincangkan isu penebangan pokok getah itu termasuk sesi perbincangan dengan Timbalan Menteri Besar yang juga telah ditolak.

Katanya, plaintif yakin dan percaya bahawa mahkamah adalah saluran yang betul dalam menentukan persoalan fakta dan undang-undang berkaitan hak ke atas pokok yang menjadi isu pada ketika ini.

Sebelum ini, media melaporkan seramai 348 peserta tersebut kesal dengan tindakan kerajaan negeri menebang beberapa ekar kebun getah yang diusahakan mereka sejak 1980.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     

Sokongan keluarga, majikan cetus kejayaan penerima Anugerah Canselor

 
     

P. Pinang catat 384 kes rogol dari tahun 2014 hingga 2018

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel