APMM rampas bot nelayan dengan hasil tangkapan guna bom ikan
Tarikh kemaskini: 11/10/2019
KOTA KINABALU, 11 Okt -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah merampas sebuah bot nelayan dengan sejumlah ikan yang ditangkap dipercayai menggunakan bom di kawasan perairan Kota Kinabalu di Laut Tanjung Sindian, malam tadi.
Pengarah APMM Sabah Laksamana Muda (M) Kamaruszaman Abu Hassan dalam kenyataan di sini hari ini berkata ketika rondaan Operasi Naga Timur pada 8.30 malam individu dalam bot itu yang menyedari kehadiran pihak berkuasa telah membawa botnya ke kawasan berhampiran pesisir pantai sebelum terjun ke laut dan menghilangkan diri.
Kamaruszaman berkata hasil pemeriksaan mendapati, bot itu mengandungi ikan yang dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan bom ikan.
Beliau berkata pihak Maritim mohon kerjasama daripada komuniti maritim untuk menyalurkan sebarang maklumat dan membuat aduan berkenaan aktiviti laut yang disyaki melanggar undang-undang.
“Sebarang kejadian boleh dilaporkan melalu talian MERS999 dan talian 24 jam Pusat Operasi Maritim Sabah di talian 088-270165,” katanya.
--BERNAMA
|