Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Suri rumah rugi lebih RM60,000 menanti hadiah dari Scotland


Tarikh kemaskini: 11/10/2019





KUANTAN, 11 Okt -- Teruja untuk mendapatkan hadiah dan wang tunai kiriman kenalan media sosial menyebabkan seorang suri rumah dari Maran dekat sini, kerugian RM60,428 yang dibayar bagi mendapatkan kiriman tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 48 tahun itu mendakwa dia diberitahu bungkusan yang dihantar kepadanya ditahan oleh pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). 

Mangsa mendakwa bungkusan itu dihantar oleh kenalan lelakinya dikenali sebagai Mohammmad Hassan yang menetap di Scotland, yang dikenali sekitar awal April lepas. 

"Mangsa mendakwa kenalannya ada menghantar pakaian, dokumen dan wang tunai USD50,000 kepadanya pada 24 April lalu namun mangsa perlu menuntut bungkusan itu dan membayar sedikit denda kerana mengandungi wang tunai. 

"Mangsa mendakwa mula membayar wang secara berperingkat menerusi 19 transaksi bermula 29 April melibatkan bayaran antara RM1,000 hingga RM8,000 bagi setiap transaksi," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. 

Mohd Wazir berkata mangsa mula berasa curiga selepas menyedari telah membayar wang yang banyak semasa membuat transaksi terakhir pada 19 Sept, namun masih berharap 'pegawai kastam' yang berurusan dengannya akan menghubunginya bagi melepaskan bungkusan itu. 

Bagaimanapun, selepas menunggu selama beberapa minggu, mangsa akhirnya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran semalam dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. 

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang remaja perempuan berusia 21 tahun membuat laporan di IPD Temerloh dekat sini semalam, kerana mendakwa diperdayakan dalam urusan pembelian telefon pintar iPhone XS Max di laman sosial sehingga kerugian RM4,450. 

Mangsa mendakwa telefon pintar itu diiklan pada harga RM1,000 semasa dia melayari laman sosial itu pada 3 petang, 4 Ogos lalu menyebabkan dia tertarik dan terus menghubungi nombor yang tertera di situ. 

"Bagaimanapun mangsa mendakwa dia diminta untuk terus membuat pelbagai bayaran kononnya sebagai cukai, insurans penghantaran dan bayaran denda kastam kerana tidak mempunyai duti setem, namun iPhone itu tidak pernah diterimanya," katanya. 

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Latihan kemahiran percuma kepada kumpulan B40 dperluas ke Sabah, Sarawak - NIOSH

 
     

Banjir di Kelantan pulih sepenuhnya, semua PPS ditutup tengah hari ini

 
     

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel