Batalion 20 PGA lakukan penerbangan ihsan keluarga anggota
Tarikh kemaskini: 11/10/2019
SANDAKAN, 11 Okt -- Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) Beluran dengan bantuan Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan penerbangan ihsan untuk keluarga seorang anggota PGA, yang mempunyai anak kurang upaya, ke Kelantan hari ini.
Pegawai Pemerintah Batalion 20 PGA ACP Nasaruddin M Nasir berkata PDRM, khususnya Batalion 20 PGA, prihatin dengan anggota PGA itu, Sarjan Rapail Abdul Munap, yang mempunyai anak yang menghidap meningits dengan 'cerebral palsy' sejak berumur 11 bulan.
"Penerbangan ihsan ini dijalankan bagi tujuan menghantar keluarga Sarjan Rapail yang bertukar ke Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa, Kelantan.
"Mereka akan terbang ke Kuching, Sarawak dahulu dan bermalam di sana, kemudian terbang esok pagi ke Kota Bharu, Kelantan menggunakan pesawat PGU PDRM," katanya kepada pemberita di sini.
Rapail, yang berasal dari Semporna, mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan Batalion 20 PGA terhadap keluarganya, terutama anak lelakinya Nur Hakimin, 18, yang terlantar di kerusi roda dan memerlukan penjagaan rapi.
Beliau telah bertugas di Batalion 20 PGA selama tiga tahun dan sebelum itu pernah bertugas di Batalion 14 PGA Tawau selama 21 tahun.
Isterinya Rohaizan Ismail, yang berasal dari Kelantan, turut terharu dengan keprihatinan Batalion 20 PGA itu.
Menurutnya, Nur Hakimin merupakan anak keempat daripada enam beradik dan tidak berupaya untuk belajar bercakap akibat penyakit yang dihidapinya.
"Tetapi dia (Nur Hakimin) boleh menyebut namanya dan memberi isyarat dengan melambai tangannya jika ingin makan," katanya.
Rohaizan berkata penerbangan ihsan itu turut disertai tiga anak perempuannya, manakala dua lagi anak lelakinya berada di Semenanjung dan masing-masing sedang menuntut di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam dan Universiti Putra Malaysia, Serdang.
Rapail dan keluarganya berlepas kira-kira 11 pagi tadi menaiki pesawat PGU PDRM jenis Super King Air Beechcraft 350.