Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

WKB2030: Sarawak sedia beri kerjasama penuh bangunkan pelancongan eko bersama kerajaan PH


Tarikh kemaskini: 11/10/2019




KUCHING, 11 Okt -- Sarawak sedia beri kerjasama penuh kepada kerajaan Pusat untuk bersama-sama membangunkan sektor pelancongan eko di negeri berkenaan yang digariskan sebagai salah satu titik panas ekonomi negeri dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata walaupun berbeza ideologi politik, tidak semestinya kerajaan negeri perlu membantah apa sahaja yang dicadangkan kerajaan Pusat, terutama sekiranya cadangan itu perkara baik kepada Sarawak.

"Saya juga akan menyokong apa sahaja yang baik kepada Sarawak, saya percaya semua rakyat Sarawak juga akan menyokongnya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan acara Drama Festival Kuala Lumpur versi Sarawak anjuran Media Prima Berhad di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi kumpulan Media Prima Berhad Datuk Syed Hussian Aljunid, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia Datuk Hans Isaac dan Dekan Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif Universiti Malaysia Sarawak Professor Madya Dr Musdi Shanat.

Abdul Karim mengulas kenyataan Azmin Ali yang kerajaan pusat PH akan mengenal pasti sektor ekonomi titik panas dalam WKB2030 untuk mengurangkan jurang pembangunan antara Sarawak dan Sabah dengan Semenanjung, di Dewan Rakyat, baharu -baharu ini.

Sektor yang dicadangkan kerajaan pusat sebagai titik panas ekonomi di Sarawak ialah pelancongan eko, tenaga diperbahrui, pertanian berteknologi tinggi, penternakan, ekonomi komoditi dan produk hiliran.

Abdul Karim berkata beliau turut berharap perbincangan lanjut dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dapat dilaksanakan agar cadangan itu dapat direalisasikan bersama.

"Kalau Azmin Ali dapat mengenal pasti titik panas (pelancongan eko) itu maka sudah pasti beliau dapat mengumumkan apa itu sebenarnya dan jika ia mengenai pelancongan, bahagian mana di Sarawak mereka mahu mempromosikan pelancongan itu," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

K'jaan Selangor sedang proses kelulusan tapak tanah Highland Towers untuk dibangunkan semula

 
     

Kedah nafi keluarkan watikah kurniaan Ahli Kehormat DiRaja

 
     

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort 448 orang

 
     

PGA9 rampas rokok putih bernilai RM750,000

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel