Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

SOJC 2019: Malaysia tewas 2-4 kepada India


Tarikh kemaskini: 12/10/2019





JOHOR BAHRU, 12 Okt  -- Malaysia memulakan kempen Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun Piala Sultan Johor (SOJC) tahun ini dengan langkah kiri apabila tewas 2-4 kepada India dalam aksi pertama di Stadium Hoki Taman Daya, di sini, malam ini.

Skuad kendalian Nur Saiful Zaini Nasiruddin itu pada awalnya bermula dengan agresif apabila berjaya merobek kubu lawan seawal minit kelapan menerusi Muhammad Amirul Haniff Mamat.

Tidak memberi peluang kepada lawan melakukan serangan balas, pasukan hoki remaja negara kemudian menambah jaringan kedua menerusi pukulan penalti sudut yang disempurnakan oleh Muhammad Hafizi Zainuddin pada minit kesembilan.

Namun begitu, kegembiraan mereka tidak berpanjangan apabila skuad bimbingan B J Kariappa pada minit ke-19 berjaya menghasilkan gol pertama lawan menerusi pukulan sudut penalti Rajbhar Rahul.

India terus menambah gol kedua pada minit ke-33, juga melalui pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Pratap Lakra.

Pasukan negara berusaha untuk menambahkan jaringan namun dikecewakan dengan dua lagi gol lawan iaitu pada minit ke-39  menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Lakra Shilanand dan gol pada minit ke-60 oleh Singh Uttam.

Sementara itu, dalam perlawanan perbukaan di sebelah petang, Australia berjaya menewaskan Jepun 2-1.

Gol Australia dijaringkan Ehren Hazell masing-masing pada minit ketiga dan ke-33 manakala jaringan Jepun disumbangkan oleh Takuwa Niwa pada minit ke-15.

Dalam satu lagi perlawanan, juara bertahan Great Britain bermula garang dengan menundukkan New Zealand 2-0.

Great Britain memperolehi jaringan pertama menerusi Russell Tom pada minit ke-34, sebelum menambah satu lagi jaringan pada minit ke-58 menerusi James Oates.

Pada aksi kedua esok, Malaysia dijadualkan bertemu dengan Australia, India berjumpa New Zealand, dan Jepun menentang Great Britain.

-- BERNAMA 

 


 

   

 
 
     
   
 

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort bertambah kepada 427 orang

 
     

Penetapan wawasan baharu ISOM untuk APEC terima respons positif

 
     

Kilang proses minyak kapal terpakai diarah tutup

 
     

Banjir kilat landa beberapa kawasan di Kuching

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel