Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Individu, pemain industri main peranan untuk tingkatkan kemasukan pelancong


Tarikh kemaskini: 13/10/2019





GEORGE TOWN, 13 Okt  -- Dalam usaha untuk terus merancakkan industri pelancongan dengan menjadikan Malaysia sebagai destinasi piihan utama para pelancong, setiap individu dan pemain industri memainkan peranan untuk mencapai misi dan visi tersebut.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata dengan perkembangan positif yang dapat dilihat dalam industri pelancongan, Kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020) adalah misi nasional yang perlu sama-sama dijayakan oleh setiap rakyat Malaysia.

"Dengan penglibatan dan bantuan daripada pihak swasta, kerajaan amat yakin bahawa sasaran yang telah ditetapkan iaitu 30 juta pelancong dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM100 bilion akan dapat dicapai dengan mudah," katanya pada Majlis Pelancaran Kempen Melawat Malaysia 2020, Peringkat Pulau Pinang di sini malam tadi.

Muhammad Bakhtiar berkata untuk mencapai sasaran itu, beliau amat optimis dan berharap para pemain industri dan orang perseorangan akan terus meningkatkan tahap pengalaman percutian dengan memastikan perkhidmatan berada pada aras yang tinggi.

"Kita perlu memastikan perkhidmatan turut meliputi perkara yang akan dilihat terlebih dahulu oleh para pelancong seperti kebersihan dan kenderaan, soal keselamatan, kebersihan, sentuhan peribadi, ia penting dapat diberikan kepada pelancong asing dan apa yang boleh diingati pelancong tentang Malaysia dan kenangan yang akan dibawa pulang mereka," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Bakhtiar berkata sebagai contoh Pulau Pinang khususnya, adalah penting untuk pihak industri terlibat keluar daripada kebiasaan dan terus mencari kuasa ‘x-factor’ yang boleh membezakan Pulau Pinang dengan negeri-begeri lain di Malaysia sekali gus menarik pelancong untuk berkunjung ke Pulau Mutiara ini.

Pada masa sama, beliau berkata sebagai sokongan terhadap kempen Tahun Melawat Malaysia 2020, pihak kementerian mengalu-alukan sesiapa sahaja yang berminat untuk menggunakan logo dan lagu-lagu kempen TMM 2020 dan menggunakannya pada acara-acara berkaitan supaya lebih ramai yang peka atas kempen yang dilakukan.

Sementara itu mengulas berhubung Belanjawan 2020, Muhammad Bakhtiar berkata Kementerian  Pelancongan, Seni dan Budaya berasa gembira dengan pengumuman yang dibuat Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

"Peruntukan yang diberikan akan kita guna sebaiknya antaranya menaik taraf beberapa destinasi pelancongan, membangunkan infrastruktur baharu dan menaik taraf infrastruktur untuk sektor pelancongan," katanya.

Belanjawan 2020 yang dibentang Jumaat lepas menyaksikan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya memperoleh peruntukan sebanyak RM1.1 bilion untuk menjayakan TMM 2020 yang mana kerajaan akan menganjurkan Tahun Pelancongan Kesihatan Malaysia 2020 untuk mengisi program TMM 2020 bagi perkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan perubatan.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Ops Catut PSP: KPDNHEP Sabah hantar notis pengesahan kepada 15 kilang

 
     

Dua buah PPS dibuka di Kuching setakat 8.00 malam

 
     

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort bertambah kepada 427 orang

 
     

Penetapan wawasan baharu ISOM untuk APEC terima respons positif

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel