Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Rina: KPLB mahu lebih ramai kaum wanita jadi ketua kampung


Tarikh kemaskini: 13/10/2019





SEBERANG JAYA, 13 Okt -- Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mahu meningkatkan penglibatan golongan wanita sebagai ketua kampung untuk mencapai sasaran 30 peratus di seluruh negara menjelang 2020.

Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata golongan wanita berupaya memimpin sekiranya diberi pendedahan dan kesedaran yang sepatutnya.

Menurutnya, setakat ini, 17,001 ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) adalah terdiri daripada kaum wanita.

"Kini terdapat sebanyak 15,441 kampung yang berdaftar dan hanya 24 peratus diketuai oleh kaum wanita dan kami berasa sasaran itu akan berjaya dicapai menjelang 2020," katanya dalam ucapan perasmian Seminar Kepimpinan Wanita Luar Bandar zon Utara di sini hari ini.

Katanya, sasaran itu selaras dengan penstrukturan dan penjenamaan semula Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) melalui kelulusan jemaah menteri Jun tahun lepas.

Sementara itu, Rina berkata kaum wanita juga harus merebut peluang mereka untuk melibatkan diri dalam bidang usahawan khususnya di kawasan luar bandar.

Menurutnya, penglibatan golongan wanita masih dianggap rendah dalam bidang usahawan luar bandar dengan hanya 21 peratus.

"Angka kami menunjukkan seramai 84,000 usahawan telah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), tetapi hanya 21 peratus sahaja daripada golongan wanita," katanya.

Beliau berkata kebanyakan golongan wanita telah banyak mengusahakan perniagaan mereka tetapi enggan berdaftar dengan SSM.

"Mereka (usahawan wanita) ini berpendapat sekiranya mereka berdaftar dengan SSM, mereka akan kehilangan kelayakan untuk menerima Bantuan Sara Hidup (BSH)," katanya.

Beliau berkata program kesedaran harus diberikan kepada mereka supaya lebih ramai memahami kepentingan dan kelebihan berdaftar dengan SSM.

"Mereka harus memikirkan kepentingan yang lebih besar sebagai usahawan berdaftar kerana keuntungan yang mereka peroleh akan lebih lumayan berbanding bantuan yang diberi melalui BSH," katanya.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

PH tidak tolak hasil kajian berbentuk ilmiah dan membina - Muhyiddin

 
     

Iikan lumba-lumba terdampar diselamatkan pelajar UMT

 
     

JIM tumpas penipuan dalam talian warga China di Ipoh

 
     

Henti polemik isu hak milik tanah kampung baharu - MB Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel