Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Ibu mati, anak OKU dijumpai dahaga lapar dalam rumah di Skudai


Tarikh kemaskini: 13/10/2019





JOHOR BAHRU, 13 Okt -- Seorang wanita ditemui mati manakala anak perempuannya , yang juga Orang Kelainan Upaya dijumpai dalam keadaan lapar dan dahaga di rumah mereka di Taman Impian Emas, dekat Skudai, tengah malam tadi.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba Johor Bahru, Mohd Saifulizam Mohd Salleh berkata pihaknya yang menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.40 tengah malam, bergegas ke tempat kejadian dengan satu jentera dan unit bantuan perkhidmatan kecemasan beserta sembilan anggota.

“Pihak kami dimaklumkan oleh seorang daripada anak mangsa (lelaki), yang pintu rumahnya tidak boleh dibuka. Apabila menjenguk ke dalam rumah melalui atas pintu, seorang daripada anggota ternampak seorang wanita terbaring di ruang tamu berkenaan.

“Selepas diberi kebenaran oleh anak mangsa untuk memecahkan pintu, kami dapati wanita berkenaan telah pun meninggal dunia lebih dari 24 jam,” kata beliau ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Pihak bomba juga menjumpai seorang budak perempuan OKU berusia 22 tahun, dipercayai sudah empat hari tidak makan.

Mayat mangsa, yang dikenali sebagai Chiong Chan Lin, 63, diserahkan kepada Balai Polis Skudai untuk tindakan lanjut manakala identiti anak perempuannya tidak dapat dikenalpasti.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Mohd Taib Ahmad berkata siasatan awal mendapati wanita berkenaan mati dalam keadaan terlentang di ruang tamu rumah teres setingkat itu. 

“Si mati disyaki mati sejak lima hari yang lepas. Anak si mati yang pulang ke rumah mendapati pintu berkunci dan si mati tidak menyahut panggilan,” kata beliau.

Anak lelakinya berkata, ibunya memang tinggal berdua dengan adik perempuannya yang menghidap Sindrom Down dan jarang dikunjungi saudara mara.

Mohd Taib berkata, post mortem ke atas mayat mangsa dijalankan di Hospital Sultanah Aminah.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Pesta Pulau Pinang sasar 500,000 pengunjung

 
     

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     

Sokongan keluarga, majikan cetus kejayaan penerima Anugerah Canselor

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel