Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Padi pulut: Kerajaan beri tumpuan penyediaan infrastruktur


Tarikh kemaskini: 13/10/2019





LANGKAWI, 13 Okt -- Kerajaan akan memberi tumpuan kepada penyediaan kemudahan infrastruktur yang diperlukan berbanding pemberian wang tunai bagi menjayakan pelaksanaan projek padi pulut di pulau ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pelaksanaan projek itu adalah langkah kerajaan membantu rakyat menambah pendapatan berbanding memberi subsidi.

"Kerajaan akan sediakan kemudahan dan tidak begitu banyak memberi wang, tetapi kemudahan mungkin seperti buat parit (tali air) dan sebagainya itu akan menjadi tanggungjawab kerajaan. Mereka yang menyertai projek pula akan dapat tambahan pendapatan.

"Kita lebih selesa dengan meningkatkan pendapatan rakyat Malaysia daripada memberi subsidi sepanjang masa. Mereka berupaya menambah pendapatan menerusi latihan dan sedikit infrastruktur yang disediakan kerajaan," katanya pada sidang media selepas menghadiri taklimat pembangunan Langkawi di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Dr Hezri Adnan, Pegawai Daerah Langkawi Muhammad Arof Darus dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan Radzuan Osman.

Menerusi Belanjawan 2020 bertemakan ‘Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama’, kerajaan akan memperuntukkan RM30 juta untuk penghasilan beras pulut di Pulau Langkawi yang dijangka memberi manfaat kepada 1,200 petani.

Mengulas mengenai pembangunan Langkawi, Dr Mahathir berkata dalam taklimat hampir dua jam itu beliau dimaklumkan mengenai kemajuan pulau peranginan bebas cukai ini.

Dr Mahathir, yang juga Ahli Parlimen Langkawi, berkata dalam taklimat itu beliau turut dimaklumkan mengenai pulau ini yang kini menjadi antara 10 pulau di dunia yang menjadi tumpuan pelancong.

"Ada cadangan supaya Langkawi dibersihkan daripada pencemaran akibat kereta. Kita nak kurangkan kereta yang menggunakan petrol supaya diganti dengan kereta hybrid manakala bas ditukar kepada bas elektrik untuk menjadikan Langkawi sebuah tempat bersih yang boleh menarik pelancong," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

K'jaan Selangor sedang proses kelulusan tapak tanah Highland Towers untuk dibangunkan semula

 
     

Kedah nafi keluarkan watikah kurniaan Ahli Kehormat DiRaja

 
     

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort 448 orang

 
     

PGA9 rampas rokok putih bernilai RM750,000

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel