Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

PH akan gunakan pengalaman Norma bantu kemenangan PRK Tg Piai


Tarikh kemaskini: 13/10/2019





PONTIAN, 13 Okt -- Pakatan Harapan (PH) akan menggunakan pengalaman ibu mantan Ahli Parlimen Tanjung Piai, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik dalam mengatur gerak kerja jentera wanita bagi memastikan kemenangan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Ketua Wanita PH, Zuraida Kamarudin berkata beliau sempat bertemu ibu Allahyarham Dr Md Farid, Norma Mohamed, 67, yang juga Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di sini, hari ini.

"Beliau (Norma) juga ada berkongsikan pandangan tentang gerak kerja PRK. Beliau bukan calang-calang wanita kerana adalah bekas Ketua Wanita UMNO Bahagian Tanjung Piai selama 30 tahun. 

"Beliau berpengalaman sebagai penggerak dan menjalankan tugas-tugas pilihan raya bagi sayap Wanita. Jadi, beliau akan mainkan peranan untuk kerusi Parlimen Tanjung Piai dikekalkan kemenangan kepada PH," katanya kepada pemberita selepas melawat Balai Bomba dan Penyelamat Pekan Nanas, di sini hari ini. Yang turut hadir, Pengarah Bomba Johor Datuk Yahaya Madis.

Ditanya sekiranya Norma ataupun terdapat wanita lain bakal dicalonkan bertanding PRK itu, Zuraida yang juga Naib Presiden PKR berkata beliau mengalu-alukannya kerana Johor memerlukan ramai wakil rakyat wanita dari PH.

"Kerusi ini (Parlimen Tanjung Piai) adalah kerusi milik Bersatu. Saya serahkan kepada Bersatu untuk mereka memikirkan calon yang layak.

"Kalau ada ruang dan peluang, saya alukan (calon wanita) dan akan jadi faktor tambahan untuk kemenangan," katanya.

PRK Parlimen Tanjung Piai akan diadakan pada 16 Nov manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 2 Nov.

PRK berkenaan diadakan berikutan kematian Dr Md Farid, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, pada 21 Sept lepas, akibat mengalami komplikasi jantung.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel