Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pemimpin, majlis rasmi kerajaan harus guna Bahasa Melayu - Anwar


Tarikh kemaskini: 14/10/2019





MELAKA, 14 Okt  -- Majlis rasmi kerajaan wajib menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam usaha memartabatkan bahasa itu sebagai bahasa ilmu, kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kekangan dihadapi dalam memartabatkan bahasa rasmi negara itu bukan bantahan atau kecurigaan daripada pihak tertentu, sebaliknya pemimpin dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mentadbir masa ini harus menunjukkan komitmen tidak berbelah bahagi dalam usaha tersebut.

Baru-baru ini, katanya, sebuah kementerian telah mengendali sebuah sidang mengenai hal ehwal nasional yang turut dihadiri oleh beberapa duta asing dan ia dikendalikan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris termasuk doanya.

“Saya menegur dengan baik menteri berkenaan dengan menyatakan perlu kita betulkan pendekatan ini kerana program kerajaan terutama libatkan program kebangsaan seharusnya dalam bahasa Melayu,” katanya di Ayer Keroh, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada majlis penutup Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Nusantara Sempena Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka 2019 yang dirasmikan Ketua Menteri, Adly Zahari.

Anwar berkata terdapat juga sidang media oleh pemimpin dan dianjurkan kerajaan yang mana bahasa digunakan bercampur aduk dalam bahasa Melayu serta Inggeris, yang mana ini tidak menggambarkan pendirian tegas kerajaan PH dalam memartabatkan bahasa Melayu.

“Saya mengesyorkan kepada semua mereka mulakan sidang dalam bahasa Melayu yang lengkap kemudian kalau ada keperluan menjawab persoalan dalam bahasa Inggeris ataupun sidang antarabangsa, bicara dalam bahasa Inggeris.

“Tetapi sekiranya kita beri contoh penguasaan bahasa yang begitu lemah dan kemudiannya menjelaskan hal penting bahasa Melayu dicampur aduk Inggeris ini (tunjuk) bahasa Melayu tidak mampu mengungkap permasalahan yang lebih rencam dan canggih,” katanya.

Beliau berkata bahasa Melayu dihormati di negara ini sebagai bahasa sastera dan budaya, bagaimanapun, tidak sebagai sebuah bahasa ilmu terutamanya melibatkan bidang sains, teknologi maklumat dan kecerdasan buatan.

Katanya, dalam memartabatkan bahasa Melayu tidak timbul isu mengetepikan bahasa Inggeris, bagaimanapun beliau menegaskan penguasaan bahasa Melayu itu perlu dikembangkan sebelum usaha mengembangkan bahasa Inggeris di negara ini dilaksanakan.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Anwar, yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, berkata apa yang diutarakannya itu adalah dasar kebangsaan dan bukan pandangan peribadinya semata-mata, justeru dasar itu perlu ditegaskan kepada semua kepimpinan kerajaan PH.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel