Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Bekas kontraktor cipta rehal beg pelbagai guna


Tarikh kemaskini: 16/10/2019




PENDANG, 16 Okt  -- Seorang bekas kontraktor melakar sejarah sendiri apabila berjaya mencipta rehal beg pelbagai guna yang juga berfungsi sebagai tempat menyimpan dan membawa Al-Quran dengan mudah.

Shirozi Mat Rejab, 53, dari Kampung Banggol Besi, di sini berkata idea mencipta rehal yang diberi nama ‘Saf’ itu tercetus apabila melihat kesukaran yang dialami orang ramai yang kebiasaannya terpaksa duduk membongkok untuk membaca Al-Quran dan menulis di atas lantai sebelum ini.

“Selepas pulang dari India pada Mac lepas dan menggunakan wang simpanan sebanyak RM100,000, saya mula membuat penyelidikan dan mereka bentuk rehal, mencari bahan sesuai agar tahan lama dan ringan dibawa dan dibimbit semua orang daripada pelbagai peringkat umur.

“Dengan beberapa kali percubaan dan penambahbaikan yang dibuat pada tapaknya agar ia mampu berdiri baik, akhirnya rehal beg ini dapat dihasilkan sepenuhnya sebulan lalu yang menggunakan plastik tahan lasak (ABS) yang tidak mudah pecah, patah dan melengkung akibat cuaca panas.

“Syukur dan berasa puas hati kerana dapat mereka cipta salah satu keperluan yang menyelesaikan masalah orang ramai untuk menulis dan membaca Al-Quran kerana ia dihasilkan untuk ketinggian yang sesuai ketika duduk bersila,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Shirozi berkata, rehal beg itu adalah penambahbaikan rehal sedia ada di pasaran yang direka khas bukan sahaja untuk meletakkan Al-Quran semata-mata tetapi boleh ditukar menjadi meja kecil.

“Rehal ini bentuknya macam beg bimbit dan apabila dibuka ianya menjadi meja kecil yang boleh menampung Al-Quran bersaiz besar, laptop dan buku tebal, dan apabila dilipat tutup boleh memuatkan Al-Quran di dalamnya, selain itu ia mampu menahan beban lebih lima kilogram dan bersifat tahan lasak,” katanya.

Bapa kepada 11 orang anak itu juga berkata, pelbagai cabaran dilalui, namun dengan dorongan dan sokongan kuat isteri dan anak-anak, beliau tabah menghasilkan rehal beg tersebut yang hanya mengambil masa enam bulan.

“Sejumlah wang simpanan juga dibelanjakan untuk mendaftar dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) agar rehal beg ini tidak ditiru atau hak ciptanya dicuri pihak lain yang ingin membuat keuntungan daripada ciptaan orang lain,” katanya yang menyatakan bahawa untuk permulaan sebanyak 10,000 unit akan dihasilkan dan dijual dengan harga RM49 seunit.

“Saya juga menyasarkan untuk pasaran luas di Indonesia… kita perlu rehal seperti ini agar kitab suci dapat disimpan dan terpelihara dengan baik sebagai adab bagi menjaga kesuciannya,” katanya yang optimis rehal itu mampu menambat hati pengguna apabila dipasarkan minggu depan.

Shirozi turut mempelawa golongan muda lepasan sekolah dan pusat pengajian tinggi untuk menjadi wakil penjual dan pengedar di seluruh negeri bagi menjana pendapatan sambil memperluaskan penggunaan rehal beg ini seluruh negara.

“Pembeli yang menempah lebih 1,000 unit akan diberi hak istimewa untuk mencetak nama pilihannya sendiri di atas rehal itu sebagai penghargaan kepada pembelian mereka pada jumlah yang banyak,” katanya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Banjir kilat landa beberapa kawasan di Kuching

 
     

Empat ADUN pembangkang gesa Perlis terima pegawai SPRM

 
     

Sultan Selangor berkenan hadir ke Jamuan Teh Diraja

 
     

LTTE: Permohonan ikat jamin dua ADUN, ketua pegawai perbadanan didengar Isnin

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel